Quantcast
Channel: NASKAH PERCUMA
Viewing all 48 articles
Browse latest View live

Melayu. Sepuluh Tahun Setelah Usman Awang

$
0
0

AJ Di Metro Fine Art


Oleh Abdullah Jones

Melayu itu 
layaknya berniaga 
dibawah payung cuma 
jual jambu dipinggir jalan 
berkhemah hingga dinihari 
menjual barangan tiruan 
dikala bilal pecah tekak laung azan 

dia sibuk melalak jual barang

Melayu itu 
politiknya tiada batas ugama 
mulutnya berbau puki 
korup tangan korup kaki 
tegak benang basah 
kerja sehari-hari 
malu orang jadi jenaka 

malu sendiri jadi bangga

Melayu itu 
kerjanya main-main 
main-main itu kerjanya 
mengadu malang semedang 
merintih dalam lagu 
mengaku masih bertatih 

dan selalu perlu dibantu

Melayu sudah tidak tidur lagi 

sudah lama bangkit dari lena 
apa sahaja jahat dunia 
anak melayu terbabit sama 
walau sedikit tertinggal 
mereka kejar dengan iltizam 

untuk terus derhaka

Melayu itu 
buang anaknya 
buang ibubapanya 
buang keluarganya 
buang saudaranya 
buang siapa sahaja 

asal dia duduk ditangga jaya

ayuhai melayu seantero benua 

tambah lagi usaha 
usaha tangga jaya 

selamat menjadi bangsa paling berdosa


Puisi sumbangan abdullahjones/rajawali

Sajak-Sajak Untuk Claire

$
0
0

Untuk Claire

Akhirnya nanti tinggal gigi,
cinta juga akan dikambus pasir jadi
pentingkah masa depan? Lidah
bukan untuk bicara tapi untuk menjilat,
dan mulut untuk mengulum, walau kau
mubaligh, mimpimu seorang lelaki
dengan kesan-kesan paku di tangan, aku
ada pendapatku sendiri tentang itu, Claire,
dan Nasib memerangkap kita, menghembus
nafas panas di pipi, menyelak kain dengan udara,
bulan yang sepucat tubuhmu malam ini
itulah dewa-dewiku.


In the end only teeth remain,
love too, will be drowned in sand so
is the future important? Tongues
are not for talking but for licking,
and mouths for sucking, even if you’re
a missionary, your dream a man
with nail marks on his hands, I
have my own opinion about that, Claire,
and Fate who ensnares us, blowing
hot breath on cheeks, plucking cloth with air,
the moon as pale as your body tonight,
those are my gods.



Secara Logiknya...

Tidak ada perbezaan
antara cahaya terlalu terang
Dengan kegelapan amat pekat,
kerana kedua-duanya membutakan.

Anda hanya menyusukan batu-batu,
bertuhankan tukang kayu, dan
menyembah sebuah kotak
jika anda tidak kenal tuhan;

semua tuhan hanyalah benda.
Tetapi jika hanya tuhan yang anda kenal,
masalahnya ialah
semua benda menjadi tuhan


There is no distinguishing
Between a light too bright
And a darkness so deep,
As both are blinding.

You nurse only stones,
Worships a carpenter, and
Glorifies a box
If you fail to know god;

All gods are just things.
But if you know just god,
Then the problem is


All things becomes god.




Pergi

sebelum kau memutuskan untuk tinggal;
pergi

sebelum kau menyelamatkan aku
akukan mengkhianatimu

tutupkan matamu
aku memakai wajahku yang paling buruk

yang akan membunuhmu
sebelum kau sempat berpaling

hanya seperti mentari
yang memancar liar,

tanpa kasihan;
begitu caranya akukan mencintaimu



Before you decide to stay;
Go

Before I’m saved,
You’ll be betrayed.

Close your eyes,
for my most terrible mask

will cause destruction
Before you can even turn.

Only as the sun,
Shining furiously

Without mercy;
Is how I will love you.


Kuala Lumpur

Ini Kuala Lumpur. Hampir setiap petangnya dicurahi hujan.
Tidak ada binatang yang menjelir kehausan di sini melainkan
manusia yang hanya boleh minum air diproses dan dibotolkan 

Jangan salah sangka, aku tidak mahu ditanda sebagai anti kemodenan
kerana aku juga suka makanan-makanan daripada pasaraya, 
jualan-jualan raya dan perhimpunan-perhimpunan jalananraya...

Aku hanya terfikirkan ini ketika aku terkenangkan biawak
yang kutemui di koridor sebuah rumah urut waktu lebat hujan-
Aku mencangkung di lantai, dia baru keluar dari longkang dan
Kami saling berpandangan., menilai kekuatan masing-masing.



This is Kuala Lumpur. Almost all it’s evenings are rain-soaked.
No animal would have to put their tongues out in thirst except
Humans who can only drink processed and bottled water.

Don’t get me wrong, I don’t want to be marked as anti-modernity
Because I too, like food from the supermarkets,
Hari Raya sales and street assemblies…

I was only thinking of this as I pondered upon a salamander
Which I’d met at the massage parlor’s corridor in heavy rain-
Me squatting on the floor, him rising out from the drain and
We held each others’ gaze, each measuring the others’ strenght.



Sajak Terakhir buat Claire

Pelukan terakhir kita kurang semangat,
Dan ucapan-ucapan hanya keluar sebagai bisikan.
Tidak ada yang lancar malam ini; semuanya gagal
melainkan perpisahan kita.

Mengapa ini mesti terjadi?
Pertemuan yang singkat, siksaan perpisahan,
Dan percintaan yang terlarang…
Claire,

Tanyalah tuhan kesayanganmu.



Our last hug was lacking in spirit,
And our words came out only as murmurs.
Nothing was fluid tonight; everything failed
Except our separation.

Why must these things happen?
Fleeting meetings, painful separations,
And love that is forbidden…
Claire,

Ask your beloved God.




Raja baca sajak di Lepaq.

Sajak-sajak ini ditulis oleh Raja Syahrul Helmi untuk seorang gadis mat saleh bernama Claire (mungkin nama sebenar). Ia ditulis sekitar awal hingga pertengahan tahun 2011. Semua sajak-sajak mempunyai terjemahan bahasa inggeris oleh penulis untuk wanita yang dipanggil Claire. Setengah daripada sajak-sajak berikut dimuatkan dalam buku Ajarkan Kami Berpuisi.

KASINO 'pundek' Saifullizan Tahir

$
0
0





Politik dan perniagaan adalah binatang-binatang liar sekawan dalam KASINO. Penulis Saifullizan Tahir sudah masak dengan gelagat binatang-binatang itu. Jelas novel ini ditulis berdasarkan pengalamannya sebagai arkitek yang biasa dengan budaya niaga di negara tercinta ini, yang tidak boleh lepas dari cakar politik.

Kisahnya berlegar sekitar empat belas hari dalam kehidupan Mohd Narcissus Yussof, watak utama novel KASINO ini, seorang usahawan Bumiputera yang mesti melangsaikan hutang RM3.8 juta kepada kerajaan negeri dalam masa dua minggu. Ia ditulis dari perspektif seorang  ‘aku’ yang bercerita kepada seorang ‘kau’ dan ini membuat saya terjerumus dalam kekeliruan untuk membezakan suara penulis dengan suara watak yang ditulis, antara Saifullizan dengan Narcissus, kedua-duanya seorang arkitek. Watak Mohd Narcissus agak mencabar minda saya dan belum lagi dapat saya memutuskan antara membenci dan menyukainya.

Ini tidak bermakna novel ini ialah sastera yang molek. Membacanya seperti berjalan dalam longkang panjang yang sarat dengan nama-nama jenama mewah yang kebanyakannya tidak pernah saya dengar.  Setiap langkah ialah penyeksaan. Ini mengecewakan bagi seseorang yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Setiap barang yang dipakai oleh watak-watak mahu disebut jenama, seolah-olah pembaca dapat membayangkan barang-barang itu dengan terperinci setelah mengetahui jenamanya.

Mungkin ini disengajakan oleh Saifullizan untuk menegaskan watak Mohd Narcissus selaku narator yang sangat mementingkan status dan kemewahan material. Mungkin juga Saiful sendiri lemas dalam fantasi konsumerisme yang ada dalam kepala setiap konsumer?  Saya hanya mampu meneka sambil menahan mual dalam perut. Apapun nama-nama itu tidak membantu naratif novel ini malah ia membuat saya terapung di awang-awangan etelase Pavilion, jauh daripada penceritaan.  

Walhal novel ini punya plot yang bagus dan ditulis dengan berani berdasarkan pengalaman-pengalaman autentik. Mohd Narcissus mewakili kenyataan kehidupan masakini golongan-golongan korporat Bumiputera yang dibanjiri kemewahan kotor. Gaya penulisan yang terus terang menokok kepada ketulenan watak Mohd Narcissus, walaupun kadang saya mempersoalkan tabiatnya yang suka mencarut ‘pundek,’ perkataan yang rasa saya tidak akan digunakan oleh golongan-golongan peminum wain tegar yang memandu Carrera  911 GTS.

Soal-soal ketuhanan dicurahkan dengan nada sinis oleh narator, seperti sepatutnya dicurahkan oleh seorang materialistik yang bijak dan berpengalaman luas. Sebenarnya novel ini banyak membuat saya berfikir. Hanya cara pencurahan idea-idea yang terus daripada fikiran dan kenangan narator, atau daripada dialog, membuatnya terasa mentah dan membosankan.

KASINO bukanlah sebuah karya agung yang dinanti-nantikan oleh saya. Ia juga tidak banyak berseni tetapi ia tidak lokek pengetahuan dan cabaran kepada pemikiran. Bermanfaat membacanya tetapi cukuplah sekali saja saya melalui helaian-helaian novel ini. Terima kasih kepada Vinlin Press yang memberi novel ini percuma kepada saya.

Api dan cinta dari jalanan!

$
0
0
Oleh HAFIZ ZAINUDDIN






Salah satu kunci kepada karya yang baik ialah daya meyakinkan, yakni sang pengkarya memberi makna dan menterjemahkan sisa-sisa yang kadang terleka oleh kita, untuk melihat, menyucuk dan menekan pada luka lama yang sudah dilupakan, agar kita sedar langit masih di atas dan kaki masih di bumi.

Dan pekik laung sang pengkarya ini pun ternampak oleh mata kita akan kewujudannya, tetapi jarang sekali dia mahu menonjol; lebih selesa berada di belakang menghayunkan karyanya untuk dicerna deria-deria kita..

Sang pengkarya ini ialah NikJidan, sepertimana rakyat yang tertekan dengan keparahan sistem-sistem tertentu, dia mahu berkongsi rasa agar dapat membuktikan semangat manusiawi tidak ditelan ketamakan. Beliau hamburkan melalui persalaman, didahului getar suara untuk kita akali, hadami, dan fikirkan.



“…sampaikan salam di angin lalu,
buat semua yang hidup,
buat semua yang mati…”Salam

Tidak keterlaluan kesemua tujuh buah lagu dari album Gerakan Rakyat Merdeka ini, kalau dikatakan ia lebih dekat dengan doa berbanding ‘sebuah lagi album’ jika diperhayati.

Album ketiga NikJidan

Gerakan Rakyat Merdeka merupakan album ketiga NikJidan selepas album Garisan Abstrak dan Javidnamah, masing-masing dilancarkan pada tahun 2007 dan 2009. Mesejnya jelas, ayuh bangkit dari kebodohan, kebobrokkan penguasa zalim, melawan ketidakadilan dan salah guna kuasa.

Berbanding dua albumnya sebelum ini, karya terbarunya ini lebih matang, lebih-lebih lagi kalau kita tahu pemuzik jalanan ini sudah pun bertemu jodohnya untuk melangkah ke alam baru berkongsi hidup bersama si-dia yang tercinta.

Terilham dari celah-celah lorong sempit, yang hanyir baunya, bila malamnya dipenuhi dengan gelandangan-gelandangan bisu. Bukan bisu! Mereka cuma tidak berbuat apa-apa, tidak melampiaskan rasa muak terhadap apa yang mereka gagal kecapi.

Inilah paparan realiti, paranoia dan sisi-sisi kompleks manusiawi; hadiah NikJidan kepada pendengar agar jiwarasa kita dapat merdeka dari pembodohan dan kecelaruan kata mereka di atas sana.

Kemulusan NikJidan, kejayaan rakaman dan penerbitan album ini diharap dapat memberi kesedaran berdemokrasi kepada masyarakat seluruhnya pada masa yang sama beliau sangat menggalakkan penglibatan lebih ramai seniman jalanan yang lain untuk menghasilkan album.

Menurutnya lagi, muzik harus dibebaskan dan berpijak di bumi yang nyata dimana seni, masyarakat dan politik adalah saling memerlukan. Dari situ akan wujud keseimbangan pada masa yang sama meluaskan lagi ruang penerimaan pendengar.

Hidup di lorong dan mencari hidayah

Gerakan Rakyat Merdeka merupakan bingkisan terbaik dari jalan-jalan sesak dan lorong-lorong sempit sekitar Kuala Lumpur;

“Jangan malu pada anjing, kita menyalak tak mengacau, oh Francis di depan pintu kaca kami semua tertanya-tanya: Apakah kau SB atau memang benar orang gila? Namun jawabmu… Aku juga manusia” – Francis Depan Pintu Kaca

Anjing apa yang dimaksudkan NikJidan? Anjing bertuan yang terkurung di dalam atau anjing sesat yang mengacau orang ramai? Tetapi tidak seperti yang taksub dengan karya sendiri, lagu ini cepat menunjukkan rasa kemanusiaan tinggi apabila sang pengkarya menonjolkan “aku juga manusia”. Ada baik, ada salah, bergantung kepada pandangan moral masyarakat.

Dan melalui Bulan Tak Pernah Salah, sekali lagi, dan lebih penting terutamanya apabila kekosongan menjajah jiwa, tuhan menjadi tempat kita untuk merujuk, memberikan rasa selesa, aman dan tenang, biarlah apapun, asal tuhan ada.


*Rencana ini terbit pertama kali di Roketkini.com

Shiva si Dewa Stoner.

$
0
0




Artikel ini ditulis sejurus aku menutup helaian terakhir buku “Shiva, The Wild God of Power and Ecstacy” karangan Wolf Dieter Storl. Buku ini tentang Shiva, panteon Hindu yang paling kool pada pandangan peribadiku.

Dalam Hinduism ada 3 dewa utama iaitu Shiva, Vishnu dan Brahma. Ada perselisihan tentang siapa Mahadewa. Ada yang kata Vishnu paling atas, dan ada yang kata Shiva saja yang Mahadewa. Selain daripada triniti SVB ni ada banyak lagi dewa–dewa kecil: Indra dewa syurga, Surya dewa matahari, Vaiyu dewa angin, dan banyak lagi. Mungkin ada berpuluh, beratus atau beribu dewa kerana lain–lain tempat di India memuja lain–lain dewa. Berapa banyakpun dewa–dewa, sebenarnya semua hanyalah manifestasi Shiva (bagi Shaivit) atau Vishnu (bagi Vaishnava).

Secara peribadi aku rasa Shiva paling awesome. Sebabnya ada banyak, tapi sebab yang paling kool ialah kerana Kanabis, atau Ganja, adalah tumbuhan kegemarannya! Rupanya ada juga tuhan yang memahami nurani belia.

Dalam semua dewa Hindu, Shiva saja yang sentiasa ‘high’. Dewa lain semuanya elok baik dan sopan santun tapi Shiva jauh sekali. Dia dewa yang rebel. Badannya penuh abu dan hiasannya ular–ular tedung. Dewa lain semua berbaju cantik bertatahkan intan berlian dan manikam, tapi Shiva sarung cawat kulit rimau saja. Walaupun ramai dewa yang memandang serong kepada Shiva tapi apakah yang dapat mereka lakukan? Shiva ialah induk.

Shiva ada banyak nama dan aspek. Kali (yang ada lagu Kali Ma… ma… ma… dalam filem Rajinikanth itu) juga ialah aspek Shiva. Sebagai stoner tegar pula Shiva dikenali sebagai ‘Bolanath’ atau dalam bahasa penjajahnya ‘Lord of Fools’.

Di India mereka layan sejenis ramuan yang dipanggil ‘Bhang’. Bhang dibuat daripada campuran daun dan bunga sejenis spesis kanabis, dicai halus–halus dan dicampurkan dengan yogurt, lada hitam, kemudian diminum atau dibuat cengkodok. Bhang juga boleh dibuat manisan, minum dengan susu, jus buah atau air special yang diorang panggil thandai (campuran rempah–rempah, kacang, dan bahan–bahan lain, ikut rasa, dengan susu atau air mawar). Sebelum minum thandai penghormatan diberi dulu kepada Shiva dengan mengangkat gelas ke dahi dan menyebut namanya.

Tentunya ganja yang dihisap seperti biasa juga ada. Pada pemuja–pemuja Shiva, ganja diberi macam–macam nama seperti Subjee (sayur) Vijaya (kemenangan) Unmatti (kegilaan) dan Siddhi (kuasa magik). Memang warna warni nama–nama yang mereka gunakan.

Aku ada melihat gambar–gambar Shiva sebelum ini, dan salah satu daripada barang– barang yang mesti ada dengan dia ialah paip yang dinamakan chilam. Dulu aku fikir paip itu untuk hisap tembakau. Rupanya untuk ganja. Saddhu–saddhu pemuja Shiva bawa chilam juga, dan macam Shiva, mereka juga stoner tegar. Macam Shiva juga, rambut mereka rasta dan sebelum hisap ganja mereka sebut ‘Bom Bom Bholanath’ atau ‘Bom Bom Bhang” sebagai penghormatan kepada Shiva.

Mungkin kerana pengaruh Shaivit, ramai juga ahli–ahli sufi di india yang ikut sama menghisap ganja. Sebagai satu bahan yang menukarkan kesedaran (conciousness altering substance), mereka gunakan ganja untuk kontemplasi tuhan. Shisha contohnya, (bukan shisha mengada–ngada yang kanak-kanak layan itu) berfungsi sama macam chilam Shiva… Ops aku tak mahu cakap banyak tentang ni, kerana aku tidak tahu banyak tentang ini. Serius.

Dalam mitologi Hindu, masa awal alam ni dijadikan dulu, Shiva sendiri yang menanam benih ganja untuk kegunaan seluruh alam. Sebagai orang Islam tentulah aku percaya Allah SWT yang jadikan pokok ganja. Memang asalnya pokok ganja tumbuhan liar, dan orang–orang pribumi menggunakan ganja sebagai ubat untuk bermacam penyakit (ganja banyak digunakan dalam Ayurvedha, perubatan tradisional India). Ia juga digunakan dalam banyak upacara animisme untuk membolehkan dukun berhubungan dengan semangat alam.

Artikel ini bukan ditulis untuk mengalakkan sesiapa hisap ganja. Namun, selepas menggunakan akal fikiran untuk berfikir sikit, aku dapat simpulkan yang semua ciptaan sifatnya neutral, iaitu tak baik dan tak buruk. Kitalah yang menentukan kegunaan untuk kebaikan atau keburukan. Semua yang datang dari Tuhan itu baik.

Kita saja yang jadikannya buruk!


Naga Sadhu -orang suci yang berkelana-
hisap chilam di Kumbh Mela, Allahabad.

Keris Mas: Sasterawan, Ahli Sains dan Kemajuan Orang Melayu

$
0
0


Keris Mas tengah control handsome
"Kemajuan kebendaan cuma dicapai dengan sains dan teknologi bukan dengan kekayaan sajak-sajak, cerpen dan drama." Demikian antara lain pendapat saudara Ahmad Mahdzan yang dikemukakan menerusi rencananya dalam Dewan Masharakat keluaran Januari (1966) lalu.

Tentulah tiada siapa pun yang dapat menafikan kebenaran pendapat ini. Akan tetapi apakah usaha memajukan masyarakat menjadi tugas sasterawan dan wartawan? Dan sejauh manakah benarnya, "Mereka ini (sasterawan dan wartawan) terlalu patuh kepada kecenderungan mereka, dan dengan pengaruh mereka yang begitu dinamik, mereka telah beramai-ramai membawa masyarakat Melayu bertemasya ke alam sastera, sehingga banyak yang telah 'mabuk' dengan khayalan-khayalan" sehingga "menyebabkan masyarakat memandang sepi terhadap perjuangan-perjuangan yang lebih membina"?


Sebenarnya jika masyarakat Melayu benar-benar "bertemasya ke alam sastera" kesannya bukanlah "mabuk dengan khayalan" dan "memandang sepi terhadap perjuangan yang telah membina," akan tetapi tentulah sebaliknya, kerana sebahagian besar dari sastera Melayu, baik cerpen, sajak, novel mahu pun drama penuh dengan unsur-unsur pendidikan moral, kritik-kritik masyarakat yang lebih menimbulkan kesedaran politik, ekonomi dan sosial, dan juga unsur-unsur perjuangan yang bernilai. Sajak-sajak di sekitar tahun lima puluhan umpamanya menggelegak dengan cita-cita dan perjuangan menentang penjajahan.


Di samping itu sasterawan-sasterawan tidak sahaja menulis cerpen dan novel, penyair-penyair tidak sahaja mencipta sajak, dan wartawan-wartawan tidak sahaja menulis berita, tetapi juga banyak menulis rencana-rencana yang membincangkan berbagai aspek kehidupan mayarakat Melayu. Rencana-rencana seperti ini sudah pun di tulis sejak sebelum perang lagi dan dalam masa kira-kira sepuluh tahun yang akhir ini semakin bertambah banyak. Masalah kelemahan orang melayu dalam bidang pelajaran dan ekonomi sedang hangat diperbincangkan. Soal mengapa anak-anak Melayu hanya menumpukan pelajaran tinggi dalam jurusan arts sahaja, sudah lama juga diperkatakan, malah ikhtiar-ikhtiar sedang dijalankan untuk membanyakkan bilangan anak-anak Melayu memasuki jurusan sains dan teknologi.

Sesungguhnya tidaklah benar jika dikatakan masyarakat melayu "memandang sepi terhadap perjuangan-perjuangan yang lebih membina" dan perjuangan untuk menjadi "orang kaya". Orang Melayu sekarang memang sudah cukup sedar, sehingga sering kita temui orang-orang yang kesedarannya melebihi kesanggupan.

Bagaimana pun, masalah bagaimana sasterawan dan wartawan dapat turut serta memberikan sumbangan untuk memajukan masyarakat memanglah penting, terutama dalam zaman seperti sekarang ini, sungguh pun pengaruh bahan-bahan bacaan tidak sebesar pengaruh pendidikan sekolah dan filem. Akan tetapi perlulah diingat bahawa ini bukanlah sebenarnya tugas seseorang pengarang yang kreatif. Disamping itu masyarakat ini mustahak pula diketahui lebih dahulu dengan cukup jelas apakah yang hendak disampaikan menerusi tulisan-tulisan itu.

Saudara Ahmad Mahdzan berpendapat, "bahawa masalah yang paling menekan pernafasan kita sekarang ialah bagaimanakah ekonomi masyarakat Melayu dapat dibaiki. Jawabnya: dengan sains dan pertanian, kerana ekonomi atau penghidupan sebahagian besar orang-orang melayu berputar belit di dalam sawah ladang mereka. Di zaman kemajuan ini pertanian tidak dapat berdiri tanpa sains -- bermakna sains dan pertanian merupakan dua fakta yang akan menentukan "destiny" atau nasib hari depan orang-orang Melayu."

Untuk melaksanakan cita-cita ini Saudara Ahmad Mahdzan menganjurkan supaya "ilmu pengetahuan sains dan pertanian" di sebarkan menerusi majalah dan akhbar. Dan oleh kerana "kita miskin dengan cerdik pandai yang terdidik dalam pelajaran sains yang sanggup menulis untuk memajukan bangsa" maka beliau meminta supaya "segala galakan harus diberi oleh ahli-ahli persuratan kepada ahli-ahli sains Melayu untuk merintis jalan-jalan supaya dapat dilalui oleh anak-anak Melayu."

Cadangan ini memang baik, tetapi sejauh manakah "ilmu pengetahuan sains dan pertanian" dapat disampaikan kepada orang melayu, terutama kaum tani, menerusi majalah dan akhbar.

Pada pokoknya orang membaca akhbar dan majalah bukanlah untuk mempelajari ilmu pengetahuan seperti ilmu sains dan pertanian. Akhbar dan majalah adalah bacaan untuk meluaskan pengetahuan umum atau menambahkan pengetahuan-pengetahuan tertentu yang sudah ada asasnya yang kuat. Akhbar dan majalah juga menjadi alat untuk menghabiskan masa lapang dan memberi hiburan. Ilmu pengetahuan sains dan pertanian mesti lebih dahulu mendapat tapak yang kuat dari pelajaran menerusi sekolah atau kursus-kursus yang intensif; sedangkan sebahagian besar orang Melayu, apa lagi kaum tani, tidak mempunyai asas pengetahuan tersebut. Sementelah pula bilangan orang-orang Melayu yang membaca terlalu sedikit dan kebanyakan dari membaca-membaca akhbar dan majalah melayu adalag orang-orang yang bekerja makan gaji. Jabatan Penerangan, Jabatan Pertanian dan berbagai kompeni yang menjual barang-barang yang ada hubungannya dengan pertanian banyak juga mengeluarkan risalah-risalah percuma, akan tetapi risalah-risalah itu tidak menarik minat pemuda pemudi dan kaum tani kita. Pemuda pemudi melayu baik di kota mahu pun di desa lebih tertarik membeli majalah filem dari majalah ilmu pengetahuan dan surat khabar, apa lagi sains dan pertanian bukanlah soal yang ringan dan menarik. kalau pun misalnya ada petani-petani Melayu yang ingin membac, mungkin pula mereka buta huruf atau kesanggupan untuk membeli tidak ada.

Salah satu masalah penting yang menyebabkan rendahnya pendapatan petani-petani kita sekarang, ialah kekurangan tanah. bagi mengatasi masalah ini setiap keluarga petani mestilah mempunyai tanah yang cukup untuk dikerjakan. Sistem menanam padi dua kali setahun yang lebih baik dan tali air yang sempurna, adalah lagi satu cara yang praktis untuk mengatasi masalah ini. Nyatalah masalah pokok yang dihadapi oleh petani-petani kita sekarang bukanlah masalah ilmu sains dan ilmu pertanian, sungguh pun ilmu-ilmu tersebut ada gunanya.

Oleh yang demikian karangan-karangan tentang ilmu sains dan pertanian, walau bagaimana banyak dan baik sekali pun, pada masa ini, tidak akan dapat membaiki ekonomi kaum tani Melayu. Dan karangan-karangan jenis ini kalau mahu benar-benar berhasil perlulah diterbitkan untuk kaum tani. Akan tetapi ini tidaklah bermakna para penulis tidak boleh memberikan sumbangannya kepada usaha pembangunan masyarakat amnya dan usaha-usaha memajukan kaum tani khususnya. Salah satu aspek yang perlu pada masa ini ialah pembangunan moral. Sikap hidup dan cara berfikir masyarakat melayu turun-temurun perlulah diubah, dan ini dapat dilakukan oleh para penulis menerusi karya-karya mereka.

Tentang kerjasama antara para penulis dan "ahli-ahli sains" dan cerdik pandai Melayu memanglah amat baik, dan sesungguhnya hal ini memang sudah lama benar menjadi idaman para penulis dan penerbit Melayu. Majalah dan kahbar-akhbar sentiasa sahaja terbuka, malah amat dahaga, kepada karangan ilmu pengetahuan. Penerbit-penerbit Melayu sentiasa ternanti-nanti dan bersiap sedia untuk menerbitkan karangan ilmu pengetahuan. Buku-buku pelajaran untuk sekolah-sekolah aliran Melayu masih amat kurang, dan untuk memenuhi kekosongan itu penerbit-penerbit terpaksa menerbitkan karya-karya terjemahan.

Soalnya sekarang bukan para penulis dan penerbit tidak memberikan galakan, tetapi adalah soal pandangan, sikap dan penghargaan kaum cerdik pandai terhadap para penulis kita sendiri. Para penulis Melayu masih dipandang rendah kerana mereka bukanlah orang yang berijazah universiti. Dan barangkali tidaklah berlebihan jika dikatakan para penulis kita selama ini hampir tak pernah mendapat penghargaan negara sedikit pun. Sebab itu suara dan inisiatif para penulis tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Majlis-majlis seminar, forum dan pertemuan yang dianjurkan oleh para penulis biasanya kurang sekali mendapat sambutan cerdik pandai kita. Pendek kata hubungan antara para penulis dengan cerdik pandai kita, bukan sahaja dari kalangan "ahli-ahli sains" tetapi juga dari segala lapangan kehidupan, politik, ilmu pengetahuan dan pentadbiran. Tidak syak lagi perhubungan seperti ini akan menelorkan hasil yang amat besar gunanya untuk pembangunan masyarakat dan negara.



*Tulisan asal dari Rencana Pengarang Majalah Dewan Bahasa Jilid X, Bilangan 3, Mac 1966.

Nik Jidan: Busking bukan mengemis!

$
0
0




Siapa idola?
Idola ramai. antaranya Jimi Hendrix, Pink Floyd, SYJ.


Proses buat lagu?
Aku ambik gitar, strum, aku dapat lagu. Aku tak pandai baca not musik. Semuanya spontan. Kalau dulu, tak de henfon canggih-canggih, aku rekod guna kaset.


Sejak bila main musik?
Aku mula pegang gitar darjah 4 masa aku dalam kelas musik aku tengok cikgu tu main gitar, aku terus tahu, aku nak main gitar. Aku pun tak tau macam mana nak cakap.



Gitar pertama siapa bagi?
Abang aku ada gitar. Darjah enam tu aku dah strumming (ketawa) sampai luka-luka tangan. Tingkatan satu, aku dah pergi jamming, ada band sendiri, cover lagu orang lain. Tapi kita pilih lagu jugaklah, tak semua. Lagu cinta terjun bangunan kita tak main lah (ketawa). Tahun 87, masa tu rock kapak meletup-letup.


Boleh kau cerita sikit pasal tangan?
Aku dari lahir macam ni. Umur aku 27 aku buat operation sebab aku nak dapat melodi (sambil petik gitar, plucking) Aku nak yang ni masa tu tak dapat. Sebelum tu aku main power chord je (bunyi gitar - jeng jeng jeng). Punk la (ketawa). Sebenarnya, aku pegang kad OKU tapi tak dapat apa-apa. Diorang tengok aku serabai, macam perompak. (ketawa).


Sebelum kau main musik, kau buat apa?
Macam-macam kerja. Kerja kilang,  jual burger, kerja dengan orang. Sampai satu masa aku jadi lost. Aku tahu aku tak boleh kerja dengan orang. Bekerja dalam satu company, ikut rules, bangun pagi balik petang, aku tak boleh.


Ni gitar yg ke berapa? Berapa banyak gitar yang kau ada?
Ni gitar adik aku. Gitar aku hantar repair. Gitar ada dalam sepuluh bijik lah. Ada yang dah hilang sebab dulu aku tidur dalam kereta. Lama jugal. Lepas operation, tahun 97, aku balik Segamat. Praktis, lepas tu aku turun KL bawak gitar. Tapi nak start bergerak, aku kena kerja dulu, welding. Praktis, praktis, praktis, buat lagu sendiri. Aku buat lagu agak lama, dari kampung lagi aku dah buat lagu. Mana yang ok, aku ingat balik, aku ambik masuk dalam album.


Bila kau mula lepak CM?
Hujung 99. Lepak tengok member-member busking, tak kenal orang, tengok  je orang main gitar. Antara yang awal aku kenal Oz Republic, Jimi, Ijam, Usol, Nan Blues, baru jumpa Meor. Lambat sikit aku jumpa Meor. Diorang dah busking awal. Aku start busking tahun 2000.

Macam mana situasi CM masa tu? Ramai Busker tak de trouble ke?

Ada jugak la sikit-sikit, tapi boleh settle. Tapi sebelum 2000 tu lagi best. Tahun 90 an sangat meriah. Kau masuk situ memang tak boleh tengok apa lagi la. Orang berkumpul, duit banyak. Aku fikir macam mana diorang boleh bekerja macam ni, masih musik dalam masa sama buat duit. Bagi kuatkan semangat lagilah nak main musik. Aku lepak dengan budak-budak  punk, pegi gig.

Busking main lagu apa?
Lagu-lagu puisi. Aku tengok diorang pun main macam tu. Lirik yang ada semangat. Takde lah cinta mati. Lagu yang enjoy, happy, bagi kita lagi semangat bukan down. Tu yang aku suka geng-geng tu.

Lagu terbaru yang kau dengar pagi tadi?
Janji ditepati. (Ketawa berjemaah). Aku dengar jugak lagu-lagu baru, tapi tak banyaklah. Garrison, Azmyl. Pendek cerita, musik yang bertenaga.

Iwan falls?
Aku dah tak berapa follow. Sebab lagu dia sekarang pun lebih peribadi, tentang family dia. Lama aku ikut Iwan Falls. Lagu dia banyak bagi aku semangat.

Filem terakhir kau tengok?
Songlap. Sebab dalam tu ada lagu aku (ketawa).

Tiga benda penting yg kau selalu bawak selain gitar.
Rokok lighter henfon. Henfon sebab senang, kalau ada ilham boleh rekod terus.

Macam mana sambutan GRM?
Sangat bagus. 100 copy dah habis. Aku print lagi seribu. Yellow Boutique tolong marketing sebab aku tak de company. Kita kenal Eddie, print baju dekat dia. Dia nak tolong promote sekali, jual online.

Apa pendapat kau tentang scene busking?
Persepsi orang sekarang ni, kau busking dianggap mengemis. Persepsi owner tempat kita busking tu. Dia tak anggap kita musician. Customer akan bagi kau duit, tak de masalah. Tapi owner tempat tu, dia akan halau. Mungkin dia tak suka sebab dia fikir kita dapat duit dengan cara mudah. Orang bagi duit 5 ringgit, 10 ringgit. Kau tak fikir yang datang tu bukan semua kepala macam kau, ada datuk-datuk, orang educated.

Kenapa Gerakan Rakyat Merdeka?
Sebenarnya aku dapat dari inspirasi Black (Amin Iskandar). Dia yang bagi perkataan tu. Rakyat merdeka ni orang yang tak duduk dalam apa-apa organisasi, tidak dikuasai siapa-siapa. Bergerak sendiri. Bebas.

Siapa Francis?
Francis ni lelaki India yang duduk di tangga depan pejabat Malaysiakini. Pakai spek mata hitam, gila pun tak gila, waras pun tak waras. Tidak dikenal pasti dia tu SB atau orang gila. Sebenarnya lirik tu ditulis oleh seorang kawan, dia tak mahu namanya ditulis sebab posisinya tidak boleh menyebelahi sesiapa. Bagi aku, dia tu contoh orang yang merdeka.

Lagu demokrasi basi tentang apa?
Aku tulis lagu tu lepas Bersih 2. Tentang polisi kerajaan, institusi diraja, polis.

Sebagai seniman, apa yg kau cuba buat dengan berkarya? Kenapa pilih musik?
Macam aku cakap, aku tak boleh kerja dengan orang lain. Darjah 4  tengok cikgu tu main gitar, terus masuk, tak boleh keluar. Aku cuba keluar dari musik pun tak boleh jugak. Medium musik ni aku pilih sebab semua orang boleh dengar.

Apa yang kau cuba sampaikan?
Supaya orang buka fikiran. Ada lagu yang aku biar ‘rosak’ bunyinya. Tapi lirik tu dapat tangkap.

Pandangan terhadap situasi politik semasa?
Rosak. Sistem, diorang nak ubah sistem. Walaupun PR naik, contohnya, sistem nak diubah sangat susah. Orang yang bekerja dalam sektor kerajaan kebanyakannya orang Umno. Orang yang menyokong kerajaan sekarang ini.Mentaliti tetap sama. Jadi penyebaran secara media, lagu, filem, apa-apa saja perlu ambil peranan.

Harapan?
Kerajaan berubah bagus. Tapi akan ambil masa untuk ubah corak pemikiran. Dalam seni, filem contohnya. Fikiran kena buka. Kita boleh tengok orang telanjang dalam Astro, tapi bila anak tempatan yang buat, tak boleh, dikritik. Dalam filem, lagu boleh dimasukkan. Jalan seiiring. Masa P Ramlee buat macam itu, soundtrack lagu yang berkualiti. Kenapa sekarang tak ada macam itu?

Musik boleh pengaruh masyarakat?
Boleh. Sangat boleh. Kalau kita tengok tahun 80an dulu. Masa Tok Mat cakap rock tak boleh, rambut panjang seluar koyak, bung bang bung bang. Orang semua tetap dengar lagu rock walaupun banyak jugak lagu masa tu yang tak menaikkan jiwa masyarakat. Tapi lagu-lagu ini disekat. Lagu-lagu yang
menyentuh hal-hal politik disekat.

Orang-orang politik kena buka pemikiran. Kena faham jiwa rakyat. Musik bukan cuma nasyid. Macam mana musik nak berkembang. Apapun, kena buka pemikiran.

Bila kali terakhir kau kena halau?
Kalau takde event mana-mana aku busking. Jadi baru-baru ni, aku busking. di uptown Damansara. Sekuriti tu halau (ketawa).




*Dipetik dari litzine fragranfrantik. Boleh emel fragranfrantik@gmail.com untuk dapatkan (Rm7).

Lidah Mesir Moden Naguib Mahfouz

$
0
0


Dilahirkan pada 1911 di Gamalliyah, di bahagian kawasan lama Kaherah yang menjadi latar kepada beberapa buah novelnya. Naguib Mahfouz dibesarkan dalam sebuah keluarga golongan pertengahan yang sangat warak. Sewaktu Naguib berusia 6 tahun keluarganya berpindah ke Abassiyyah di pinggir ibu kota Kaherah.

  Karya-karya awal Mahfouz membayangkan perhatiannya yang mendalam terhadap kehidupan golongan pertengahan Mesir yang sangat mementingkan kesejahteraan kebendaan, kebimbangan tentang masa depan mereka, kepatuhan terhadap sistem dan keengganan mereka mencabar pihak yang berkuasa. Satu-satunya tumpuan dalam pencarian kelas ini pada masa itu adalah mengusahakan kesejahteraan hidup masing-masing.

  Pada tahun 1930, Mahfouz menuntut di Universiti Raja Fuad (sekarang Universiti Kaherah) di Kaherah, dalam bidang falsafah, dan mendapat ijazah sarjana muda pada tahun 1934. Pembacaannya dalam bidang falsafah pada peringkat awal itu membolehkan beliau menyumbangakan beberapa buah esei, seperti misalnya: 'Evolusi Fenomena Sosial', 'Apakah Falsafah?', 'Falsafah Bergson', 'Persepsi dan Deria', 'Pragmatisme', dan 'Aliran Lama dan Baru Dalam Psikologi'. Walaupun pembacaan sasteranya sangat kurang pada waktu itu namun pemilihan bidang estetika sebagai tajuk tesis yang tidak diselesaikannya (mungkin tidak pernah pun dimulakannya) membuktikan cinta terhadap seni sentiasa wujud dalam dirinya.

 Pada penghujung tahun-tahun 1930an Mahfouz menumpukan perhatiannya pada karya-karya besar Arab dan Barat. Mahfouz sangat terpengaruh dengan karya Taha Hussein, Abbas Al-Akkad dana Salama Mousa, dan secara terbuka mengakui karya-karyanya banyak dipengaruhi penulis-penulis itu. Menurut Mahfouz, dia mempelajari erti pemberontakan intelek daripada Taha Hussein, dan mendapat nilai-nilai kesenian, demokrasi dan kebebasan individu daripada Al-Akkad. Mahfouz juga menemui psikologi prototaip Arab pada karya Al-Akkad, Sarah. Daripada Salama pula dia mendapat kesedaran tentang nilai-nilai sains, sosialisme, dan toleransi intelektual.

   Penulisan novel Arab masih lagi merupakan satu genre yang masih mentah pada waktu Mahfouz muncul dalam arena sastera Mesir. Untuk mengembangkan bakat mereka, Mahfouz dan novelis-novelis generasinya merasakan mereka perlu juga mengenali warisan dan teknik penulisan Barat.

   Mahfouz membaca karya sastera barat dengan meluas, yang dalam bahasa Inggeris atau dalam terjemahan Arab. Beliau pernah meluahkan rasa kesal kerana tidak pernah membaca karya-karya Dickens dan Balzac, kedua-duanya itu merupakan pelopor novel realistik; sebaliknya dia menemui realisme pada karya-karaya Huxley, D.H Lawrence dan Flaubert. Walaupun dia banyak mendapat manfaat daripada pembacaan karya penulis besar Barat namun tidak ada seorang pun yang meninggalkan pengaruh ketara dalam penulisannya, yang tidak pernah diragukan masih bersifat kemesiran.

   Sewaktu Mahfouz memulakan penulisan novelnya, Mesir sedang mengalami zaman keresahan politik, penindasan dan pemerintahan kuku besi. Pada Jun 1930, Ismail Sidki menjadi Perdana Menteri dan menggantung perlembagaan 1923 dengan alasan bahawa Mesir masih belum sedia dengan demokrasi ala Barat. Dengan menindas pihak pembangkang, beliau dengan kejam menghapuskan sebarang percubaan untuk mempersoalkan pemerintahan beliau.  Kecaman kejam dan tanpa belas kasihan telah dilancarkan terhadap Taha Hussein kerana keberaniannya menyuarakan penentangannya, dengan menerbitkan setengah-setengah pandangan yang skeptikal tentang puisi pra-Islam -dengan mengatakan bahawa puisi-puisi tersebut telah diubah daripada bentuk asalnya untuk menjaga maruah kabilah-kabilah, dan membayangkan dalam penulisannya bahawa Al-Quran tidak semestinya diambil sebagai sumber sejarah yang muktamad- dan Taha dituduh menyeleweng dan dicap sebagai pengikut syaitan. Pergolakan itu berakhir dengan pemecatannya sebagai Dekan Fakulti Sastera di Universiti Kaherah. Begitu juga dengan nasib Al-Akkad yang dihumban ke dalam penjara atas tuduhan mencemarkan Kerabat Diraja.

    Menyedari, seperti Tawfik al-Hakim sebelumnya, bahawa penentangan secara terbuka terhadap kuasa autokrasi sia-sia saja, Mahfouz berjaya mencipta satu kaedah bercerita yang dapat membayangkan kecaman terhadap sistem pemerintahan itu tanpa menghadapi risiko menentang pihak berkuasa. Mahfouz yang berhati-hati itu menyelitkan kritikannya dalam novel-novel sejarahnya, bahawa nasib buruk Mesir akibat tiga sebab: pemerintahan kuku besi, imperialisme dan alat imperialisme. Dalam tiga karya sejarahnya yang berlatarkan Mesir purba, The Mockery of Fate (1939), Radobais (1943) dan The Struggle of Thebes (1944), dia menggabungkan sejarah dengan simbol-simbol untuk menunjukkan sentimen politiknya ke dalam peristiwa zaman Firaun.

  Kemudian pada tahun-tahun 1940an dan 1950an Mahfouz mula menggunakan gaya yang lebih realistik dalam karyanya dengan latarbelakang Mesir moden. Antara 1956 dan 1957 Naguib Mahfouz menerbitkan triloginya yang terkenal, yang mengandungi Bayn al-Qasarayn, Qasr al-Shawq dan Al-Sukkariyya. Dalam trilogi itu Mahfouz menggambarkan perubahan nasib yang melanda tiga keturunan sebuah keluarga di Kaherah sejak tahun-tahun 1920an hingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Dalam fasa realisme inilah juga terbit The New Cairo (1945), Khan El-Khalili (1946) dan Midaq Alley (1947). Novel Beginning and the End yang dimulakan pada 1943 dan terbit pada 1949 merupakan karya terbaik Naguib Mahfouz tentang belas kasihan insan. Soal kemanusiaan dan kepekaan terhadap penderitaan manusia dipaparkan dengan sangat mengesankan hingga persoalan dalam novel ini melampaui sempadan Mesir dan menyentuh persoalan universal. Novel ini dengan penuh empati dan belas kasih yang tak keterlaluan, menggambarkan masalah moral dan kerohanian sebuah keluarga borguis Mesir yang berdepan dengan kemiskinan waktu Perang Dunia Kedua.

    Mahfouz, seorang penulis yang prolifik, menebitkan beberapa buah novel lagi termasuklah Awlad Haritna (1959, diterbitkan dalam bahasa ingeeris dengan judul The Children of Gebelawi), sebuah novel kiasan dengan implikasi metafizik yang memperkatakan pencarian manusia dan kehausan manusia terhadap tuhan. Dalam tahun 1960an Mahfouz kembali kepada gaya asalnya, dengan melakukan eksperimen dan mencuba gaya yang lebih impresionistik dan psikologikal. Pada 1961 Mahfouz menerbitkan The Thief and the Dog, menggabungkan realisme politik sosial dengan teknik stream of conciousness yang baru dalam dunia penulisan novel Arab. Soal-soal mistik dan kerohanian dapat ditemui juga dalam The Beggar (1965) dan Chit-Chat on the Nile (1966).

  Dalam novel-novel Naguib Mahfouz, nasib bagi tiap-tiap watak ialah nasib bagi Mesir moden. Tragedi, kesengsaraan dan konflik dalam novel-novelnya membayangkan perubahan sosial, intelektual dan politik dalam satu fasa penting dunia Arab moden. Perjuanagan generasi yang lebih muda, lelaki dan wanita, untuk memperoleh kebebasan dari cengkaman keluarga, untuk membentuk kehidupan mereka sendiri, adalah seiring dengan perjuangan rakyat untuk mencapai kemerdekaan politik dan membebaskan Mesir daripada belenggu peraturan usang yang melemahkan, dalam usaha Mesir untuk menyertai dunia moden.

  Naguib Mahfouz telah menghasilkan lebih 50 novel, 350 cerita pendek, berdozen skrip filem dan pementasan dalam kariernya yang melampaui 70 tahun. Pada 1988 beliau dianugerahkan Hadiah Nobel untuk Sastera, satu-satunya penulis Arab yang menerima anugerah itu hingga kini. Pada masa-masa tua matanya sudah hampir buta, tapi dia terus juga menulis walaupun sukar memegang pen atau menaip. Novel beliau yang terakhir, The Seventh Heaven diterbitkan pada 2005.

     Pada Julai 2006 Naguib Mahfouz mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh, dan pada 30 Ogos 2006 beliau meninggal dunia di Hospital Kaherah. Beliau dikebumikan dengan penuh istiadat tentera, di Masjid Al-Rashdan, Kaherah.   




*Artikel dicedok daripada Bermula dan Berakhir, Naguib Mahfouz terjemahan DBP 1993 dan Wikipedia.


Hamka: Fikiran dan Rasaseni

$
0
0

Tulisan ini disalin balik dari Pribadi (1950) oleh Hamka.


Hamka diapit oleh ehem-ehem
Cara berfikir yang teratur adalah tenaga penarik yang utama pada manusia. kata-kata yang keluar dari lidah ialah dorongan dari jalan fikiran. Kata-kata dan perbuatan iaitu bukti, adakah beres berfikir atau tidak. Seni sendiri yang bersumber pada kehalusan perasaan sekali tidaklah dapat diciptakan, kalau fikiran tidak beres.

Dari adukan dan campuran warna dapat diketahui orang bagaimana perasaan pelukis. Oleh sebab itu adalah beberapa lukisan, patung dan syair yang telah bertahun-tahun usianya, masih amat dalam pengaruhnya.

Lukisan-lukisan di istana Paus di Vatican, dipandang orang sebagai raksasa seni, yang hampir tak ada tolok bandingnya sampai beberapa keturunan. Lukisan Rembrandt menyebabkan bangsa Belanda, tempat dia dilahirkan, dapat mengangkat muka dihadapan dunia dan berkata: "Rembrandt kami punya!"

Thomas Caryle mengatakan: "India pada suatu ketika akan terlepas dari tangan kita, tetapi Shakespeare tidak. Jika orang menyuruhkan daku memilih diantara dua, iaitu mempertahankan bahasa Shakespeare atau mempertahankan kedaulatan atas India, tentu akan saya pilih yang pertama. Shakespeare adalah daulat raja yang lebih tinggi, yang menguasai seluruh bahasa Inggeris, baik di tanah Inggeris asli baik pun di seberang lautan."

Meskipun demikian pula, muzik itu tak akan terjelma kalau tidak dibantu oleh fikiran yang sihat, walau pun isinya sangat halus. Kalau hendak melihat bangsa-bangsa Eropah yang telah tinggi pendidikannya, termenung dan lupa diri, satu detik pun tidak boleh kedengaran di lantai, lihatlah ketika mereka itu mendengarkan muzik Beethoven, Mozart atau bach.

Fikiran dan perasaan mesti sejalan.

Salah kita kalau kita menyangka bahawa dengan mempelajari undang-undang dan teori muzik saja, atau mengakui suatu teori susunan syair, kita telah menjadi ahli muzik atau ali syair. Undang-undang hanya sebagai dasar. Sebagai kami di surau dahulu mempelajari ilmu alat, supaya kami kelak dapat berjalan sendiri dalam menyelami rahsia bahasa Arab dengan fikiran sendiri. Walau pun dua pelukis sama-sama tegak di tepi sebuah ngarai dan sama-sama melihat keindahan alam dan sama-sama memindahkan dia ke atas kertas, kalau kelak hasil keduanya diperhatikan, akan nampaklah juga perbezaannya. Sebab mereka itu memandang dengan teropongnya masing-masing.

Kita pelajari undang-undang seni, kita masuki sekolahnya yang tinggi, kita turuti dengan segala percubaan yang tiada mengenal bosan. Dan kita pun insaf, tidak ada ahli seni yang tidak terpengaruh oleh ahli seni yang lain. Kita meniru dan kita membandingkan, tetapi kita tidak boleh menjadi bayang-bayang dari kesenian peribadi yang mempengaruhi kita itu. melainkan kita pupuk pertumbuhan jiwa kita sendiri. Dengan itulah kita menjadi ahli seni yang besar!

Pada keyakinan saya, fikiran dan jiwa seni seseorang seniman atau pujangga yang besar adalah tumbuh di atas tanah watannya yang dihisapnya, sehingga sebagai orang Inggeris berhak berkata: "Shakespeare itu kami punya!"

Dan orang German berhak berkata: "Goethe itu kami yang punya," maka bangsa Indonesia pada suatu waktu tentu boleh pula berkata "Si Anu kami yang punya."

Dan itu adalah berasal dari jiwa yang besar!

Bukannya di dalam kota yang ramai, di tempat kenderaan bersilang-siur dan hiruk-piruk yang menulikan telinga saja, tempat mencari jiwa seni bangsa. Selamilah jiwa mereka itu, ketahuilah kesukaan dan kebenciannya; terutama di tanah air kita yang bermasyarakat berbagai ragam ini. Ada yang telah terpesona oleh muzik Beethoven, dan ada yang masih tergila-gila oleh suara gamelan. Ada yang telah makan dengan memakai senduk dan garfu, pun ada yang masih makan anjing! Ada yang telah mengatur pakaian pesta, pakaian malam, pakaian sore, dan ada pula yang masih bertelanjang.

Mendidik bukanlah memaksa!

Roh yang akan meningkat besar nampak alamatnya pada kecintaan akan alam dan keindahan serta kepercayaan kepada Tuhan.

Pada suatu hari di musim darurat, saya berjalan melereng bukit meninggalkan kampung saya, maninjau, akan menuju ke Malalak. Hari ketika itu kira-kira pukul tujuh pagi, matahari telah mulai mengintip dari bukit itu dan cahayanya lebih dahulu telah dikirimnya ke tengah danau; seorang gadis kecil sedang sedang menjaga sawahnya; padinya muda dan unggas banyak. tiba-tiba datanglah ibunya hendak menemaninya. Maka berkatalah anak perempuan itu: "Lihatlah, ibu! Matahari telah naik, indahnya panas dalam danau itu. Adakah mak lihat biduk orang ke seberang? Unggas pun tidak banyak sepagi ini; tidak lama lagi padi kita akan masak!"

Saya sedang lalu di permatang sawah itu, memang di bawah terhampar kampungku yang indah permai, dn lantaran hujan pada malam itu, daun-daun kayu di rimba pun sangat hijau rupanya. kawan yang mengiringkan saya berkata: "Seperti syair perkataan anak gadis itu!"

"Memang," jawabku. "Syair itu ada terasa oleh setiap manusia, terutama di lembah yang indah ini, sayang tidak di asuh dan dipupuk. Alangkah hebatnya, kalau anak itu terdidik."

"Tuan pun tidak terdidik pada mulanya," kata temanku senyum.

"Saya ini wakil dari sekalian mereka itu," jawabku.

Dalam susunan katanya yang sederhana, tetapi tumpahan perasaannya, nampaklah keyakinan dan kepercayaan menghadapi hidup pada gadis itu. tetapi apa hendak dikata, selama ini pertumbuhan ditekan oleh kejahilan, kerana kesempatan tidak diberi. Ditambah pula oleh kemiskinan. Dimanalah akan subur kesenian jiwa, kalau sekiranya setiap hari yang difikirkan hanya beras seliter, apalagi dalam zaman darurat.

Bakat untuk jiwa yang kuat ada pada petani tengah mengerjakan sawahnya, tampak pada guru yang tengah menghadapi muridnya di dusun yang terpencil. Tampak juga pada seorang pemimpin kecil dalam kampung, yang kurang berhubung dengan dunia luar; sambil berladang dia memimpin, membawa surat-surat pemerintah dan maklumat rasmi, dibacakan di masjid sebelum khutbah. Nampak pada bapa walinegeri, bapa lurah dalam zaman perjuangan. Lain daripada "pangkat" itu tidak ada yang didapatnya. Entah kalau sawahnya sendiri yang tergadai, atau celananya yang bertambal.

Jiwa yang besar tidak perlu dipukulkan gong! Yang bersorak-sorak atau disorak-sorakkan sangat mujarab dan dijamin beres adalah ubat-ubat khasiat 1001 dipinggir pasar! Jiwa yang besar tenang jalannya, melangkah setapak, tetapi tetap! Menahan segala pukulan dan gelombang, yang laksana batu karang, bertambah dipukul gelombang, bertambah banyaklah anasir yang lekat pada dirinya untuk menambah kukuhnya.

Baik saudagar yang hanya menghitung berapa laba sehari dan jangan banyak rugi; baik pun ahli politik yang siang malam menjaga martabat negaranya; baik pun ahli ekonomi, dan baik pun siapa yang mencempungkan dirinya ke dalam masyarakat, sekaliannya itu harus berjiwa seni. Sebab hidup itu seni. Jangan tuan sangka bahawa syair atau filsafat atau tasauf atau gambar lukisan tidak perlu untuk mencipta pekerjaan yang besar-besar.

Seorang yang miskin ingin hendak membeli baju baru, lalu dia berjalan ke muka kedai. Dia ada berduit, lalu ditawarnya kain itu. Dihitung-hitungnya, rupiahnya tidak cukup; berkali-kali ditawar, yang empunya tidak mahu menyerahkan. Sudah dicubanya pergi dari tempat itu lambat-lambat, moga-moga dipanggil. Pun tidak dipanggil. Maka pulanglah ia dengan tangan hampa; dibelanjakannya juga duitnya, tetapi bukan kepada kain, melainkan barang lain yang lebih murah. Demikianlah orang miskin dengan maksud yang lebih besar dari kesanggupannya. maka begitu pulalah orang miskin jiwa dalam menuju ke arah pekerjaan besar. Ada pun muzik, seni, filsafat, tasauf itu adalah kekayaan jiwa dan tampang kebesarannya, sehingga tidak ada pekerjaan yang dipandangnya besar.

Syair Arab:

"Menurut ukuran orang yang mempunyai azam
akan tercipta pekerjaan dan perkara yang penting
Dan akan tercipta suatu perkara mulia
menurut kemuliaan orang yang menciptakannya
Besar segala perkara kecil-kecil di mata orang kecil
dan kecil perkara yang besar-besar dalam mata orang yang besar"


*****

Tiga perkara menjadi sendi bagi kebesaran jiwa:

1. Tidak gelisah

Tenang, tidak panjang agak-agak dan ragu. Ada kalanya kerana bawaan badan dan ada kalanya kerana pandai menahan hati dan dilatih tidak tergesa-gesa, kerana pengaruh suka dan duka, sayang dan benci. Ada pun takut dan segan-segan sangatlah besar pengaruhnya serta menghambat kemajuan akal, sehingga fikiran terlepas daripada keseimbangannya. Selama akal masih sipengaruhi oleh ketakutan dan kecemasan, maka sikap tenang pun hilang, lalu timbul kegelisahan.

Cemburu, hasad dan dengki menghilangkan ketenangan, kerana itu kita sendirilah yang meracun jiwa sendiri. Cita-cita mesti besar. Angan-angan yang tidak berhujung dan khayal yang tidak berkeputusan, pun menghilangkan ketenangan akal.

Banyak orang yang hilang tenaganya, timbul gelisahnya, sebab tidak dapat menyesuaikan yang nyata dengan yang dicita-cita. Dia mahu supaya perjalanannya sampai ke hujung dalam sekejap mata. Itulah sebabnya maka banyak orang yang jadi gila atau bertukar akal pada permulaan revolusi. Dia ingin segala pekerjaan beres dalam saat itu juga. Padahal Allah pun menjadikan alam dalam enam hari dan istirehat di hari ketujuh. Hanya Negara "1001 malam," iaitu Negara Aladin yang diciptakan dalam sesaat seketika saja, oleh jin yang dapat diseru dengan lampu hikmat Aladin. Negara demikian hanya ada dalam dongeng.

Dan lagi kehidupan mewah pun selalu menggelisahkan jiwa.

Iaitu hidup yang dipaksa melebihi kemampuan dan kesanggupan diri.


2. Rela menerima hidup dan berusaha.

Rela menerima hidup, bukanlah ertinya menyerah dengan tidak berusaha. Kalau menyerah saja, bukan rela namanya, tetapi lemah. Erti rela ialah menyempurnakan pekerjaan sendiri dan mempertinggi mutunya.

Kalau kerelaan akan hidup tidak ada lagi, keberanian pun hilanglah. Tidak berani lagi membantah yang salah, menegur yang tidak adil. Kalau begitu masyarakat pun terhentilah kemajuannya. Sebab anggota masyarakat itu telah mundur dalam medan hidup. Rela yang timbul kerana lemah dan malas, dengan perasaan, "cukuplah begitu saja," bukanlah rela, tetapi mati!

Untuk mencapai kemajuan kita harus menuntut yang lebih sempurna. Jiwa mesti dinamis, bergerak terus; jangan statik, membeku.

Orang yang rela dalam hidup, tidak hendak keluar dari ukuran yang pantas bagi dirinya. Kemegahan kulit tidak mempengaruhinya. Biar tinggal di pondok kecil asal jiwa besar.

Kerelaan hidup mengajar kita agar sudi menerima hidup bersakit-sakit. Sebagai bangsa berjuang, dan perjuangan ini belum habis, walau pun Negara telah merdeka, kita harus mengajar hidup bersakit itu. Ikan sungai yang hidup menangkis air hilir lebih padat dagingnya daripada ikan dalam tebat. banyak pada zaman revolusi "orang halus" yang tidak tahan menderita, sebab itu dia menyerah. Mulanya dirasanya senang, sebab telah mendapat beberapa laba lahir. tetapi kian hari ia kian kurus, kegembiraannya hilang, sebab jiwa sendiri menderita. Disangka akan "sihat" kerana telah mendapat gaji besar, cukup pembahagian distribusi dan lain-lain. tetapi kian hari kian terasa olehnya bahawa dia kehilangan kegembiraan kerana mendustai cita-cita sendiri.

Emile Zola, pengarang Perancis yang amat mahsyur itu, telah meningkat tangga kemahsyurannya sejak dari anak tangga di bawah sekali. Orang melihat bagaimana melarat hidupnya ketika mula-mula datang ke paris. menyewa sebuah kamar yang telah tiris. Tetapi kerana dia tidak putus asa, akhirnya salah satu dari karangannya telah membuka pintu baginya kepada kejayaan besar. Sehingga wang yang masuk dari keuntungan karangannya telah mengubah hidupnya, telah menyebabkan dia tertawa sesudah lama melarat.

Pada waktu Zola di atas puncak kemahsyuran, terjadilah perkara Dreyfus. Dreyfus dituduh menjual rahsia negara sendiri kepada negara asing. Alasan tuduhan itu tidaklah cukup, tetapi Dreyfus dibuang juga ke pulau Setan, sebab pemerintah anti Yahudi dan Dreyfus itu orang Yahudi. Tiap-tiap usaha hendak membela Dreyfus tidak berhasil sebab segala keterangan yang jelas ditahan oleh pihak atas.

Akhirnya isteri Dreyfus meminta tolong kepada Zola. Sebab Zola itu pengarang yang ternama, penanya berpengaruh, ia pun disukai rakyat. Dengan sangat perempuan itu bermohon kepada Zola, supaya suaminya dibela.

Zola mulanya enggan dan ragu. Dia pun tahu, Dreyfus tidak salah dan teraniaya. tetapi kalau sekiranya soal itu digugatnya, pemerintah akan murka dan akan banyak orang yang menentangnya. Zola berjuang dalam hati. Dia meminta buah fikiran kepada salah seorang temannya. Temannya itu berkata, bahawa jiwa pujangga yang sejati adalah pencinta kebenaran. Ada pun kemegahan dan kemewahan, kalau diperturutkan, akan menjatuhkan jiwa pujangga, bahkan akan menghilangkan hasil langkah perjuangan yang telah lama, dalam waktu yang sebentar. Pada saat demikian itulah pujangga harus menunjukkan kepujanggaannya yang sejati.

Akhirnya Zola dapat menetapkan pendirian. Dibelanya Dreyfus dengan karangannya yang terkenal, "Saya menuntut!" (J'Accuse). Karangan itu tersiar di seluruh kota Paris dan tanah Perancis umumnya. Dengan bahasanya yang hidup, ditegakkannya keadilan dan ditentangnya perbuatan zalim: Dreyfus tidak salah! Pena Zola mempertahankan dia. Segenap kekayaan kata-katanya sebagai pujangga, diberikannya dan dikorbankannya untuk membela Dreyfus, ertinya pembela kebenaran! pendapat umum terpengaruh oleh buah pena itu, tetapi pemerintah bertahan dengan kekuatan kekuasaannya. Zola terpaksa menerima akibat dari tulisannya, iaitu berpindah keluar negeri. Dan dia rela menerima hal itu.

Kekuasaan tidaklah dapat melawan kebenaran, Akhirnya pemerintah yang keras kepala itu terpaksa jatuh juga. Pemerintah yang baru menyelidiki perkara Dreyfus kembali. Ternyata Dreyfus tidak bersalah, hukumannya dicabut, dia dipulangkan ke tanah airnya, pangkat dan kehormatannya pun dikembalikan. Pena Zola menyedarkan pendapat umum supaya kembali kepada kebenaran. Tetapi sayang, seketika orang hendak menghormati pahlawan pena itu, sebagai putera Perancis yang berjasa, Zola telah wafat lebih dahulu di luar negeri.

Dalam mengambil ketetapan hendak membela Dreyfus, lain daripada sahabatnya, ada lagi orang lain yang sangat berpengaruh memperkuat semangatnya. iaitu isterinya. isterinya itu lebih rela dia sengsara, asal sengsara kerana menggenapkan kewajipan sebagai pujangga. Isteri itulah yang banyak mengeraskan supaya suaminya menetapkan sikap, jangan ragu-ragu. Sehingga walau pun Zola mati, dia menggenapkan kewajipan nama sebagai seorang pujangga.

Dia telah menjadikan mautnya sebagai penutup kehidupan pujangga yang indah.

Kalau begitu tidak sedikit pengaruh isteri atas membentuk peribadi kita. Dalam saat yang genting ketika revolusi yang telah lalu, tidak sedikit orang yang jatuh atau tercicir di tengah jalan, menyerah kepada lawan, bukan kerana dirinya sendiri yang tidak tahan, melainkan kerana kelemahan isterinya. Pihak lawan pun kerap kali lalu dari pintu belakang, iaitu dari pihak isteri, untuk melemahkan hiwa seorang pejuang. Bung Karno berterang-terang menuliskan hal itu dalam bukunya yang terkenal, "Sarinah." Kegagalan kita dalam beberapa hal ketika melaksanakan revolusi, tidak sedikit tersebab dari kaum perempuan. Oleh sebab itu lebih baik janganlah beristeri hanya kerana pertalian benda; lebih baik kerana pertalian hati dan pertalian cita-cita.

Jangan dikejar orang yang belum tiba dan jangan pula dinantikan orang yang telah pergi lebih dahulu.

Lord Efebry berkata: "Siapa yang ingin menang di dalam hidupnya, asal hati tabah, pastilah sampai maksudnya. tetapi suatu cita-cita yang timbul hanya kerana keinginan hawa nafsu, tidaklah akan memuaskan hati, dan tidak semuanya akan sampai.

"Gagal dalam kemuliaan lebih baik daripada menang dalam kehinaan. Orang yang gagal sekali-kali tidaklah rugi, selama dia belum putus asa. Kalau sekali maksud belum sampai, janganlah patah pengharapan."

Kata Mark Twain: "Peliharalah cita-citamu baik-baik. Kerana cita-cita kalau telah padam, samalah ertinya dengan mati."

Hu Shih ahli filsafat Tionghua berkata: "Tidak dapat tidak, seorang mesti gagal agak sekali dalam hidupnya. Dengan kegagalan itu dia dapat mengetahui di mana segi kelemahan dirinya. Gagal sekali tidaklah mengapa. yang rumit ialah jika gagal dua kali di tempat yang serupa itu juga."

Rugi harta benda belumlah patut disebut rugi, kerana harta dapat dicari. Rugi keberanian, samalah ertinya dengan separuh kerugian. tetapi kalau rugi kehormatan, jatuh martabat dan gensi, maka itulah rugi yang sebenarnya.

Kata Bacon: "Nyalangkanlah mata waktu berjalan, kerana di tengah jalan pasti akan bertemu dengan kesempatan. Ada pun kesempatan itu sendiri buta. Peganglah dia kuat-kuat. Kerana datangnya tidak memberitahu, perginya tidak pula."


3. Muka Jernih.

Sungguh, muka yang kusut-kusut saja alamat bahawa yang di dalam pun kusut pula. Ada orang bertanya: "Siapa yang dapat mengetahui hati orang lain?". "Dapat! Sebab mukanya dapat dibaca! Terutama matanya!" Dalam fasal yang di atas telah kita nyatakan bagaimana hubungan otak dengan anggota tubuh yang lain. Urat-urat saraf diperintah oleh otak menyampaikan kepada wajah muka, menyatakan perasaan benci dan sayang, dengki dan mendongkol yang ada dalam otak.

Orang yang buruk sekali pun menjadi bagus kalau mukanya jernih. Muka jernih mendatangkan simpati. Tetapi muka yang kusut mendatangkan jemu orang lain, walau pun pada dasarnya muka itu cantik. Orang yang mukanya kusut saja, ertinya mengurung dirinya sendiri dan memutuskan ikatannya dengan orang lain.

Pada suatu ketika saya lihat ada seorang yang sederhana kehidupannya, tetapi selalu tamunya banyak. Orang senang saja menziarahi rumahnya, padahal dia bukan seorang yang mampu. Saya perhatikan apa yang menjadi pokok hal itu. Tak lain hanyalah kejernihan muka si suami dan si isteri. Dengan mukanya yang jernih dia mendapat banyak sahabat. Sekali-sekali pernah juga dia mengeluh, sebab kesengsaraan hidupnya menyebabkan dia tak dapat menyelenggarakan tetamunya dengan sebaiknya. maka berkatalah isteri itu: "Supaya kita terhindar dari kesulitan ini kanda, lebih baik kita ubah sikap kita. Kita kerutkan saja muka kepada tiap-tiap orang yang datang. Tentu mereka itu tidak akan ke mari lagi."

Suaminya menjawab: "Dan sejak waktu itu, tidaklah bererti lagi kita ini."

Setelah itu muka mereka pun jernih kembali, sebab jiwanya jernih pula. Dan walau pun bagaimana belum pernah mereka itu kehilangan akal, sebab jiwanya tidak dibiarnya kusut.


###

Nota: jangan gelak, please.

Tentang Sepasang Kasut

$
0
0

Oleh Aisyah Rais.
*Tulisan ini dipetik dari litzin fragranfrantik


Umur aku 10 tahun pada tahun 1997. Baru darjah empat, sekolah rendah. Rutin harian aku pada masa itu tak lain ialah pergi sekolah kebangsaan waktu pagi, balik sekolah cepat-cepat salin baju, tolong mak buat kerja rumah, pergi sekolah agama sesi petang, balik sekolah, buat kerja rumah, buat kerja sekolah, tidur.

‘Buat kerja rumah’ dalam kamus hidup aku masa itu adalah basuh kain guna tangan, basuh pinggan mangkuk, masak, jaga adik-adik aku, bagi makan pada adik-adik, mandikan adik-adik, tolong apa lagi yang patut di rumah. Mak berniaga jual kelapa. Jadi di antara sela masa semua itu, kalau ada orang datang nak beli kelapa, aku mesinkan.

Dari pilih kelapa yang elok, belah guna parang, aku mesinkan supaya dapat kelapa putih untuk orang-orang dapatkan santannya buat masak kari atau masak lemak, masuk dalam plastik, dan jual. Jari aku tak cantik sebab selalu terkena parut kelapa yang tajam dan menyakitkan. Pedih bila kena. Kadang darah statik dekat kulit, kadang mengalir jatuh ke lantai.

Itu. Rutin aku ketika umur aku sepuluh tahun.

Aku ada kenal seorang budak Iran yang namanya Zahra, adik kepada Ali. Daripada apa yang aku tengok, kehidupan Zahra tak banyak beza dengan aku. Zahra baru umur budak tadika pada tahun 1997 dan Ali umur budak sekolah rendah. Zahra, budak comel yang balik dari sekolah, dan seterusnya kau boleh baca balik erti kata ‘buat kerja rumah’ dalam konteks hidup aku di perenggan atas untuk kau tahu rutin hidup Zahra. Sama. Ya, sama. Bezanya, Zahra sental periuk dekat kolam ikan depan rumah dia, dan aku sental periuk kena berdiri atas kerusi sebab tak sampai, sinki tinggi sangat.

Ali itu aku ibaratkan abang aku, Along. Ali kuat kerja walau umur masih sangat budak. Bila cuti sekolah, Ali ikut bapa dia pergi buat kerja-kerja membersih laman orang kaya. Naik basikal, bawak racun rumput,  bawak sabit untuk potong rumput dan tekan loceng semua rumah orang kaya yang ada laman. Untung nasib, dapat kerja. Kalau tidak, kena halau dengan gonggong anjing. Begitu kuat keringat orang miskin yang kuat usaha. Cari sesuap nasi untuk anak bini.

Ali kuat usaha macam bapak dia. Kuat belajar. Kuat tolong orang tua. Penyayang pada adik-adik dia. Tapi cuai. Satu hari, Ali tertinggal kasut Zahra yang dia bawak pergi baiki sebab koyak. Lepas itu, aku pendekkan cerita, kasut itu hilang tak jumpa. Orang miskin ni kau kena faham, selalunya satu-satu benda yang dia ada itu memang akan ada dalam kuantiti tak lebih dari satu dan boleh di-multitask-kan fungsinya.

Kasut Zahra yang Ali hilangkan itu satu-satunya kasut yang Zahra ada. Kasut yang dia pakai untuk pergi tadika aku percaya dia pakai juga masa hari raya dan bila masuk pertandingan sukan. Bila dah hilang, ‘masak’ Ali dengan Zahra akan kena hambat dengan bapa dia orang. Tapi Ali tak takut kena hambat. Yang dia takut, bapa dia akan usaha cari duit untuk beli kasut baru untuk Zahra. Dia takut membebankan bapanya. Mak dia dahlah sakit. Bapa cari duit cukup-cukup untuk makan pakai anak beranak, bayar sewa rumah. Nak mintak beli kasut baru itu cari nahas namanya.

Ali tidak ada cara lain selain pinjamkan kasut dia ke Zahra untuk dipakai bergilir-gilir ke sekolah. Akibatnya, Zahra terpaksa bergegas keluar awal dari sekolah, dan Ali selalu terlambat datang sekolah walaupun puas berlari-lari untuk percepatkan langkah. Kena marah dengan cikgu, Ali terpaksa tahan panas telinga. Budak sekarang, kena marah sikit, dah mengadu pada mak ayah. Esoknya, protes tak datang sekolah. Ali, tak dibenarkan masuk kelas dan disuruh balik sebab dah berkali-kali datang lewat tu boleh merayu-rayu menangis-nangis minta untuk masuk kelas sebab tak mahu tertinggal pelajaran.Kalau budak sekarang, disuruh balik, tak payah negotiate, terus blah.

Perihal hilang kasut mungkin ibarat perihal hilang guli sebiji alahai boleh beli lagi bagi sesetengah orang. Tapi bagi orang macam Ali, Zahra, aku dan Along, perihal sepasang kasut boleh bawak perang dunia anak –beranak. Jadi macam mana cara sekalipun, Ali mesti cari jalan selesaikan masalah. Fokus pada masalah tak akan bawak kau kemana, tapi fokus pada cari jalan penyelesaian akan bawa kau ke satu perjalanan yang kau tak akan sangka-sangka. Bergilir-gilir pakai kasut ke sekolah dah jadi jalan penyelesaian supaya Zahra tak berkaki ayam ke sekolah dan supaya bapa mereka tak tahu yang kasut Zahra hilang.

Lagi satu masalah ialah bagaimana  dan lama mana mampu Ali dan Zahra bertahan untuk bergilir-gilir tukar pakai kasut ke sekolah? Bak kata orang putih dalam sebuah cerita, “Escaping is easy. The hardest part is staying free”. Macam serius sangat bunyinya. Aku rasa itu persoalan dalam kepala Ali yang buat dia ambil keputusan untuk  masuk pertandingan lari anjuran sekolah. Misi dan impian Ali hanya satu : untuk menang tempat ketiga. Kenapa tempat ketiga? Sebab tempat ketiga dapat hadiah kasut. Kasut itu diharap Ali dapat dia beri kepada Zahra, adiknya.

Kasut. Hanya kerana kasut. Cerita tentang Ali, Zahra dan kasut ini diceritakan bukan saja kepada aku dan Along  malah sampai ke mat-mat saleh nun jauh di negara Uncle Sam sana yang percaya dengan kasih-sayang Ali terhadap Zahra, ketekunan bapa mereka dan indahnya hidup orang miskin yang merasa cukup dengan apa yang ada. Di waktu aku pun belum pasti sama ada Zahra telah dapat kasut baru untuk dia ke sekolah atau tidak, filem yang memenangi beberapa anugerah antarabangsa ini berjaya sampai ke Anugerah Akademi sebagai filem Iran pertama yang dicalonkan untuk Anugerah Filem Asing Terbaik tahun 1998 walaupun tidak berjaya untuk membawa pulang Oscar.

Aku hanya dapat menonton filem ini buat kali pertama semasa umur aku masuk 20 tahun. Sepuluh tahun berlalu daripada apa yang aku cerita di perenggan pertama, walaupun dah lama aku tinggalkan, tapi aku rasa  aku masih mahir mesin kelapa.

Untuk cerita kasut yang lebih daripada  sekadar ‘bagaimana untuk mendapat sepasang kasut baru’ ini, aku ucapkan terima kasih kepada penulis dan pengarahnya, Majid Majidi.

Nama filem tentang Ali, Zahra dan kasut  ini ialah Children of Heaven (1997).














Teater Ratna Kadhal

$
0
0



Tarikh: 19-21 Oct 2009

Jam: 3.00pm - 11.00pm

Lokasi: Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Malaysia.

Contact Person: 0122290944



RATNA KĀDHAL | CINTA RATNA
Karya dan arahan Khairunazwan Rodzy


Kampung Bendang Hitam mempunyai dua buah kumpulan kongsi gelap yang berkuasa di dalamnya dan masing-masing berimpian mahu memiliki kuasa penuh di kampung sendiri. Ratna merupakan adik kepada ketua kumpulan kongsi gelap diketuai oleh Siva, yang bermusuhan dengan sebuah kumpulan kongsi gelap yang diketuai oleh Lokman yang mana Nasir ialah salah seorang ahlinya. Nasir terlihat Ratna yang sedang menari di sebuah majlis keramaian di dalam kampungnya, lalu tertarik hati dengan kelembutan pada gerak tari yang dipersembahkan serta sikap Ratna yang penuh kesopanan dan keindahan akhlak. Setelah sekian lama, mereka telah menyimpan rasa suka antara satu sama lain dan sering berjumpa setelah habis setiap keramaian yang melibatkan Ratna sebagai penari.
Kisah cinta romantis umpama Shah Jehan dan Mumtaz, tragis hanya kerana Shah Jehan berlainan bangsa.

“Kalau tahu ertinya rindu, jangan kau lupa ertinya seksa. Namaku Ratna”
“Kalau seksa dalam merindu, kan ku pujuk untuk bertemu. Namaku Nasir”


*Pementasan dalam bahasa Melayu dan Tamil

Tak Kenal Syurga Neraka

$
0
0

Fikirlah kamu yang boleh berfikir, tentang Kebenaran. Luasnya alam tak mampu kau fikirkan, itu kebenaran. Lebih banyak daripada butir–butir pasir bintang–bintang, dan bagi setiap bintang, berapa banyak batu seperti bumi ini yang dihidupkannya? Berapa banyak bangsa, berapa banyak bahasa, berapa banyak nama–nama tuhan yang ada? Jadi janganlah kau bersengketa kerana nama.

Tuhan tidak ada di masjid–masjid, tidak juga di gereja–gereja, malah tidak juga pada batu–batu yang kau ukir indah, tidak ada di puncak langit, tidak juga di perut bumi, tidak ada di antara tubuh-tubuh di angkasa. Pada malam Ibrahim bertanyakan kepada Saturn, “Engkaukah Tuhanku?” bukan planet itu yang akhirnya menyahut “Akulah Tuhanmu”, tapi hatinya sendiri yang bersuara.

Jadi untuk mencari tuhan kau tak perlu pergi jauh ke luar, tapi jauh ke dalam. Dan tuhan di dalam itu tak perlukan nama, tak perlukan upacara, tak perlukan darah, tak perlukan apa–apa.

Kau yang perlukannya perlu mendekatinya, bukan dengan falsafah kerana falsafahmu tak membuktikan apa–apa. Ia tidak salah tapi tidak juga betul, ia betul dan ia juga salah, jadi dengan falsafah kau selalu tergantung di tengah–tengah.

Dekatilah Dia dengan cinta.

Cinta membuat setengah kita sujud, cinta membuat setengah kita menyanyi, cinta membuat setengah kita bermeditasi, cinta juga yang membuat aku menulis puisi.

Tapi sujud, menyanyi, meditasi, puisi, tidak penting. Apa yang penting ialah cinta.

Akhlak adalah kemanusiaan, ekspresi cinta dalam kehidupan, manakala moral dan undang–undang hanya untuk mereka yang tidak berakhlak. Tapi akhlak, moral, undang-undang, semuanya lebur dalam Cinta.

Moral, undang–undang, selalu menenggelamkan kemanusiaan, maka kemanusiaan perlu selalu berhati–hati dengan keduanya. Jika undang–undang menafikan kemanusiaan, maka kemanusiaan perlu menafikan undang–undang.

Pertahankan cinta, kerana tidak ada yang lebih layak untuk dipertahankan.

Demi cinta aku bersedia untuk dihukum, seperti Al Hallaj bersedia untuk dihukum, aku rela dituduh songsang seperti Siti Jenar dituduh songsang, aku rela dituduh gila seperti Manikkavacakar dituduh gila, aku rela dituduh bodoh seperti Francis Assisi dituduh bodoh.

Aku rela dituduh, kerana tuduhanmu tidak akan mengurangkanku.

Api tak akan padam dengan kata–kata, apalagi Cinta yang tak perlukan udara, tak perlukan kayu untuk menyala. Cinta tak kenal dosa dan pahala, tak kenal syurga dan neraka, kerana cinta sejati tak perlukan pembalasan.

Cinta itulah syurga yang paling indah…

Warkah Biru

$
0
0

Jadi, usah saudara mengatakan bahawa aku mahu mendabik dada bila aku mengatakan kita tidak perlu gementar menghadapi kehidupan, kerana kita dan kehidupan adalah satu. Gementar menghadapi kehidupan bererti takut menghadapi diri sendiri. Kita tidak boleh takut menghadapi diri sendiri.

Bila kita bersajak tentu kita mahu sajak-sajak kita segagah "Gitanjali" dan sekuat "Aku". Kita mahu sajak-sajak kita berharga. Kita mahu berjasa. Kita mengerti peranan Rabindranath Tagore dan Chairil Anwar di dunia sastera. Kita tentu tahu betapa kentalnya perhubungan sajak dengan manusia.

Sememangnya benar bahawa sajak-sajak yang sangat berharga bisa membukakan pintu-pintu pengetahuan baru. Pengetahuan baru yang memberi pemikiran-pemikiran dan pelajaran-pelajaran baru. Sajak-sajak yang berharga dapat membangkitkan perasaan-perasaan baru dalam lubuk hati kita.

Jiwa yang maju ialah jiwa yang hidup. Manusia yang maju ialah manusia yang benar-benar hidup. Manusia yang benar-benar hidup tahu menimbang dan menerima nilai-nilai kehidupan. Sajak dapat menghidupkan jiwa manusia.

Seorang penyajak muda Russia dewasa ini, Andrei Voznesensky berkata bahawa, "penyajak mestilah menyelami keburukan dalam kehidupan guna menghapuskan keburukan itu."

Mengukir sajak memerlukan keberanian yang lebih. Bukan saja berani setakat mengukir ragkai kata-rangkai kata baru. Bukan saja berani setakat membentangkan persoalan-persoalan baru. Bukan saja sanggup merakamkan kejadian-kejadian yang bersejarah. Tapi mestilah juga berani, mestilah juga sanggup mempertahankan ciri-ciri dan peribadi-peribadi sajak-sajak itu. Mesti berani mempertahankan segala prasangka yang tali-menali tentang apa gunanya sajak-sajak itu dicipta. Mesti berani menangkis segala pandangan rendah, segala hina-maki terhadap sejauh mana manfaat dan kebajikan serta faedah yang dapat dipersembahkan oleh sajak kepada rakyat sekarang.

Itulah saudara, sajak-sajak yang saudara baca, yang saudara telaah di dada-dada surat khabar, majalah, yang saudara baca dalam "Warna Suasana", "Liar Di Api", "Gelombang", "Rakaman Roh" dan "Damai" adalah suatu pencerminan kehidupan. Cerminan kehidupan kita, ayah-ibu, bangsa, negara dan angkatan kita.

Negara-negara dunia banyak yang bergolak kini. Begitu juga sajak-sajak. Pergolakan dalam sajak-sajak itu merupakan pergolakan pemikiran pencipta-penciptanya, yang didapatinya dan yang dikautnya daripada manusia-manusia di mana pencipta-pencipta sajak tersebut makan dan minum. Ketika penyajak itu berhadapan dengan dunia dan rona-roninya.

Orang membicarakan sajak, Sidang Roh, buah tangan Kassim Ahmad. Inilah salah satu perbincangan tentang nilai-nilai manusia ketika menghadapi kehidupan di dunia. Dialog yang dicetuskannya menyoal sejauh mana kita berani dan sedia belajar dari rumah kehidupan. Sejauh mana kita bersedia memberi makna yang bermakna kepada kehidupan kita.

Sidang Roh, membogelkan kekurangan kita. Ia menelanjangkan sistem kehidupan kita yang tempang sekarang ini. Sememangnyalah pengarangnya melalui Sidang Roh berapi-api berkata, bahawa Islam bukannya agama akhirat semata-mata. Bahawa sudah sampai masanya kita memberi pandangan baru kepada agama kita itu. Bahawa angkatan baru, bangkitlah engkau, bangkitlah untuk mendobrak kekolotan-kekolotan yang selama ini bermaharajalela memagari kita. Yang selama ini bersukaria menghalang kemajuan-kemajuan bangsa kita. Bangkit, bangkit angkatan muda.

Itulah faedahnya sajak. Sajak membuka mata si buta.

Yang membikin sesebuah sajak itu segar-bugar dibaca ialah kerana perbuatan bahasanya. Pencipta sajak selalunya seboleh-bolehnya cuba mengadun anggota sajaknya dengan selok-belok bahasa baru. Bahasa baru yang membawa pengertian rangkai kata-rangkai kata, peribahasa-peribahasa dan lambang-lambang yang belum pernah digunakan orang. Melalui perantaraan bahasa baru itu, baru penyajak berupaya mengalirkan perutusannya dengan lebih berkesan.

Adakalanya orang tidak faham akan bahasa baru ini. Orang menyangsi berkali-kali lalu menyoal tanpa peduli. Apa itu, "Bulan Di Hujung Atap", apa itu "Cermin Tua". Apa yang dimaksudkan oleh A.S Amin dengan, "Pagi Sampai Di Kelabu Mata." Apa yang dimengertikan oleh Usman Awang dengan, "Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini."

Bila orang tidak mengerti dan tidak faham bahasa-bahasa ini, orang lalu mengecap bahawa itulah sajak-sajak liar. Liar. Liar. Liar. Lalu orang menjauhi sajak. Orang yang menjauhi sajak ialah orang yang menjauhi diri mereka sendiri.

Bersetujukah saudara denganku bila kukatakan bahawa di samping berdikari, hidup ada kalanya meminta pertolongan? Hakikat bahawa hidup mesti tolong-menolong tidak bisa dikesampingkan, bukan? Kerana sememangnya aur dengan tebing itu mesti sandar-menyandar.

Siapa berani menafikan bahawa kehidupan kita dewasa ini tidak tersepit, siapa? Aku? Tidak. Sesungguhnya kita sedang menerajang ke kiri ke kanan. Jiwa kita begitu gelintar. Kita sebenarnya sedang mencari. Apa yang kita cari? Sebagaimana orang melombong bijih untuk pasaran dunia, kita melombong kehidupan besar untuk pasaran bangsa. Kalau tidak rumah kita akan tergadai kelak. Tanah kita akan terjual nanti. Sudah tentu kita tidak mahu menjadi pengemis. Menjadi pengemis di kampung sendiri adalah amat tidak manis. Sudah tentu kita tidak mahu anak cucu kita tertinggal di belakang. Sudah tentu kita tidak mahu anak cucu kita dipijak dan dilanyak. Cukuplah dengan pelajaran yang kita pelajari dari penjualan Pulau Pinang dan kekalahan Melaka.

Kita tidak dapat menolak bahawa tiap-tiap yang hidup mempunyai kekurangan dan kelebihannya. Ini kita sedari betul. Sedihnya masih ada manusia yang tidak sedar tentang kewujudan dirinya. Kerana itu mereka terpaksa ditolak untuk hidup. Sajak boleh menolak manusia untuk hidup.

Sememangnya semua orang, seboleh-bolehnya ingin menjadi seorang yang baik. Dan seorang penyajak itu seboleh-bolehnya berikrar untuk mempersembahkan kebaikan untuk negara, bangsa dan agamanya.

Kerana itu memang benar kata Yevgeny Yevtushenko, seorang penyajak Russia yang terkenal di serata dunia hari ini bahawa "saya adalah seorang nasionalis bagi negara yang baik."

Dalam kehidupan sehari-harian kita sering ditindas. Ditindas oleh adat yang bukan-bukan. Adat yang bobrok dan hodoh. Adat busuk bagai bangkai yang mengekang kehidupan kita. Adat yang menghambat perjalanan kemajuan kita. Adat begini mestilah dibuang dan ditanam hidup-hidup.

Ada orang berkata dengan marah-marah, "Pakailah songkok waktu bersembahyang." Sebagai seorang Muslim pencinta kemajuan kita mesti menjawab, "Adakah Islam agama songkok?". Islam menggalakkan berfikiran maju.

Sajak boleh dijadikan alat untuk mengganyang adat kuno. Sajak boleh dijadikan alat untuk mencari kehidupan yang maju.

Pernah dikatakan bahawa sajak-sajak Kahlil Gibran dari Lebanon itu berjaya mengubat jiwa yang sakit. Manakala Kahlil Gibran pula yakin terhadap, "Apa yang aku suarakan ketika aku hidup akan dipercakapkan oleh ribuan manusia sesudah aku meninggal dunia." Keyakinan itu benar-benar terbukti kini.

Jiwa yang bernilai sentiasa hidup di jiwa manusia yang hidup. Walaupun manusia empunya jiwa yang bernilai itu tidak ada lagi di dunia. Kerana kehidupan yang bererti itu sebenarnya menghendaki jiwa yang mengerti. Mengerti dalam menyelongkar intipati kehidupan yang besar.

Pun begitu, jiwa yang bernilai boleh didapati pada sajak-sajak yang bernilai. Sesungguhnya sajak-sajak bernilai merakamkan peribadi yang menggegar lagi bersinar.

Penyajak Tamil, Subramanya Bharati (1882-1921) telah membuktikan bahawa sajak dapat memupuk keinsafan dan kesedaran serta semangat kebangsaan sesuatu bangsa. Sajak-sajaknya telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat India dalam rangka mencapai kemerdekaan India daripada kuku besi Inggeris.

Sajak dapat menunjukkan kekurangan-kekurangan dalam susunan satu-satu masyarakat. Sajak dapat memaparkan keburukan-keburukan dalam masyarakat. Sajak memeriksa kepercayaan- kepercayaan kuno. Mempersoalkan sama ada kepercayaan kuno, kekolotan basi sesuai digunakan lagi di zaman ini. Sajak membawa dan meyakinkan kita tentang keperluan pelajaran kepada anggota sesuatu masyarakat.

Penyajak Jerman, George Heym menggunakan sajaknya, Der Krieg (Perang) untuk menyatakan betapa buruknya peperangan itu. Hingga diperahkannya kebenciannya terhadap padah peperangan dengan kenyataan bahawa, "Perang meronyok bulan dalam tangan hitamnya."

Abbas Mahmud Al-Ikad pula menggunakan sajak-sajaknya untuk membela kebenaran dan menentang kekejaman. Sajak-sajaknya menjadi alat menunjukkan masyarakat ke arah jalan yang benar. Sajak-sajaknya membangunkan semangat dan fikiran umat Arab khasnya dan manusia sejagat umumnya.

Seperti yang kita sedia faham kita kini sedang mencari. Apa yang kita cari? Ya kita mencari emas. Jika ada yang mengatakan bahawa pencarian emas telah tamat, orang itu adalah salah. Sudah lama kita merdeka. Setakat mana kemajuan kita? Sejauh mana kesenangan kita? Kita akan menangis mengenangkan kemunduran dan kemiskinan kita. Tapi bisakah tangisan menghilangkan kemiskinan dan kemunduran bangsa? Sudah tentu saudara menjawab tidak!

Apakah kita akan terus menerus menangis? Kita akan terus-menerus mendiamkan diri? Akan terus menerus duduk termenung? Aku lihat saudara pun menjawab tidak, tidak sekali-kali.

Bagaimana saudara, andai aku katakan bahawa engkau dan aku, bahawa kita bersama mesti bekerja kuat dan bekerja kuat. Berusaha dan berusaha. Bersedia dan terus bersedia dalam lapangan yang masing-masing suka. Tentu saudara berkata bahawa saranan aku elok dipakai.

Kita mesti acapkali menatap diri kita sendiri, bukan? Menatap diri sendiri bermakna memeriksa norma-norma kehidupan kita. Kita melakukan ini dengan segala kesedaran bahawa kita tidak mahu kehidupan kita habis sia-sia. Lantaran itu kita mesti selalu memeriksa kehidupan kita.

Malah rasanya tidak akan salah bila kita bertanya kepada diri kita sendiri; Apa yang telah aku berikan kepada diriku? Apa yang telah aku persembahkan kepada bangsaku? Apa yang telah aku korbankan untuk agamaku? Apa yang telah aku lakukan untuk faedah manusia?

Amatlah salah andai kita lekas berpuas hati dengan seketul kejayaan. Pun bertambah salah bila kita dengan gampang menjadi orang yang rapuh terhadap berputus asa sepanjang jalan.

Dengan segala kesedaran inilah kita tidak kedekut mengutarakan pendapat bahawa kejayaan berkehendakkan pengorbanan, dalam bentuk yang bisa membawa perpaduan. Perpaduan yang mana membuka jalan mencapai kemajuan. Sememangnya saudara, inilah pelajaran pahit yang kita pelajari dari zaman. Bahawa kita tidak rela orang merampas rumah hak mutlak pusaka keturunan nenek moyang kita.

Aku akan tersenyum mendengar orang mengatakan bahawa sajak-sajak tidak berguna kepada dunia. Apa, saudara pun turut mengatakan begitu? Sebenarnya orang yang berkata begitu, menggambarkan jiwanya yang penuh diselaputi kebendaan melulu. Bahawa dalam dunia ini yang paling dipujanya ialah wang semata-mata. Kerana itu ia mengenepikan hasil-hasil yang mempunyai nilai-nilai kehidupan. Ia menunjukkan hasil-hasil kesenian yang sebenarnya ialah gambaran bangunan peribadinya sendiri. Saudara tentu bersetuju dengan hakikat betapa buruknya jiwa yang demikian, samalah buruknya dengan jiwa yang buta kepada ilmu pengetahuan.

Dan kalau orang marah kepada aku akibat kelancangan mulutku dan kurang ajarku, aku cuma terus tersenyum. Kerana aku tahu bahawa kelancangan mulut dan kurang ajar itu adakalanya tidak bisa dielakkan oleh keturunan Adam dan Hawa. Pun kemarahan itu bukannya buruk.

Kalau orang berkata bahawa aku cuma tahu bercakap, pun aku tidak juga akan marah-marah. Kerana ada masa-masanya bercakap berjela-jela itu lebih baik daripada membatukan diri. Tentu saudara tidak akan menafikan hakikat ini.



Artikel oleh Abdul Ghafar Ibrahim, Kulim, 10 Februari 1967


Sekolah Rabak Bersama Loque

$
0
0

Kelas/bengkel percuma dan terbuka untuk semua. Tiada yuran, tiada sebarang bayaran dikenakan. PERCUMA!

LoQue; tulang belakang di sebalik band lagenda; Butterfingers dan 'captain of the ship' untuk MonoloQue; kugiran yang merevolusikan 'gelombang baru' muzik Malaysia.

Beliau akan berkongsi ilmu dan idea tentang muzik. Mahu tahu apa yang akan Loque 'sekolahkan'? Jom, sertai kelas ini.

Kelas ini akan berlangsung pada 17 November 2012, jam 2 petang di Ipoh Hainan Chicken Rice, 107 Jalan Raja Musa Aziz, 30300 Ipoh, Perak. (Berhampiran pawagam lama Ruby)

Emel 'Sekolah Rabak' ke projekrabak@gmail.com atau
hubungi Natasha (017-5058314) dan Yvonne (019-5429779) untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan.



*SEKOLAH RABAK diajurkan oleh PROJEK RABAK dan disokong oleh 1MDB & IPOH HAINAN CHICKEN RICE.

Garis-Masa: Fathullah Luqman Yusuff

$
0
0

Oleh Mohamad Farez Abdul Karim

Central Market. Tahun 1990. Lokasinya restoran mamak Hameed. Kelihatan seorang pemuda kurus berkulit cerah, berambut lurus mencecah bahu sedang melorek sesuatu di atas sehelai kertas tisu dengan pen berdakwat hitam. Lengkuk kedua matanya agak ke dalam, gelap di sekelilingnya menandakan dia seorang insomnia. Ataupun ‘dracula’? Dahinya jendol ke luar, luas pengetahuannya mungkin. Di hadapan, seorang lelaki, sebaya dengannya sedang menunggu dengan penuh teruja. Tersenyum dia sambil sekejap-sekejap menjeling ke arah tisu tersebut. Pemuda awal tadi masih khusyu dengan lukisannya. Selesai menandatangani ‘tisu’ tersebut, dia lantas menghulur kepada kawan di hadapannya tadi. ‘Okey, aku belanja hang teh tarik,’ ujar pemuda kedua diikuti hilai tawa pemuda ‘sang pelukis’ tadi. Mereka kemudian menghabiskan gelas mereka, sebelum berjalan  keluar dari CM untuk pulang. Sang pelukis menaiki bas ke Brickfield. Di situlah dia menginap, di situ juga tempat untuk dia mendapat ilham untuk melorek di atas kertas sebagai pengubat jiwa. Di samping mencipta beberapa buah lagu berentak metal dan sedikit elemen pop-industrial. Di rumah itu, bersama kawan-kawan, mereka mengisi masa dengan berbual tentang kesenian, muzik-muzik alternatif, filem-filem berat antarabangsa dan sedikit perihal politik Malaysia. Di situ juga pernah menghasilkan beberapa kumpulan muzik underground legenda yang kemudian mempengaruhi genre muzik indie masa kini. Rumah itu atau selalu dipanggil 121-C, sentiasa tak sunyi dengan kedatangan para gelandangan dari serata benua dunia. Di 121-C mereka bertukar idea dan ilham, berkenaan budaya dan sub-budaya. Seniman dan anggota muzik dari segala ceruk dunia Eropah, USA, Japan akan berkumpul sambil berkongsi material terbaru sesama mereka. Boleh disimpulkan, penghuni rumah itu sentiasa saja dikunjungi muda-mudi berbakat dari serata pelusuk benua lantaran memberi mereka inspirasi untuk produktif menghasilkan karya yang menongkah arus perdana.

 17 tahun kemudian, di hadapan pintu sebuah apartmen di TTDI, milik kakak sang pelukis, penulis memberi salam. Ini adalah pertemuan pertama penulis dengannya. Setelah memberi salam, terpacul dia yang hanya berseluar panjang, tanpa baju. Menjawab salam dengan penuh, dia mempersilakan penulis masuk ke rumah. Memasukinya, penulis terperasan dia sedang sibuk mengukir sebuah adunan plaster Paris. Ukirannya menjurus kepada bentuk figura manusia yang minimal. Ruang tamu tidak seperti kebiasaannya, sedikit semak, terdapat beberapa bingkai lukisan catan akrilik dan cat minyak tersandar di dinding. Dek pintu kaca di anjung yang sedang terbuka, bauan dari cat minyak tidak terlalu kuat. Beberapa jam sebelum itu, penulis telah menghubunginya melalui laman maya untuk membeli CD solo beliau yang terbaharu, Romantikarat. Tanpa dia sedar, penulis sebenarnya tidaklah begitu hiraukan irama muziknya. Penulis mengkagumi bakatnya dalam lapangan lukisan dan kesenian. Serta falsafah yang terungkap di sebalik lagu ciptaannya.


Fathullah Luqman Yusuff. Itulah nama penuh insan pelukis yang mesra dipanggil ‘Fathul’ atau ‘Fathui’ oleh kawan-kawan seangkatannya, di dalam dunia muzik underground. Berasal dari Alor Setar, Kedah dan dilahirkan pada 18 September 1972. Mendapat pendidikan formal di Maktab Rendah Sains Mara dan Kolej Sultan Abdul Hamid sebelum keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur. Sebelum namanya dikenali sebagai pelukis, dia terlebih dahulu mengukir nama dalam bidang muzik metal dan underground tempatan. Infectious Maggotsdan Spiral Kinetic Circus adalah dua nama yang sinonim dengannya. Malahan, aneh jika kita melihat Infectious Maggots dan Spiral Kinetic Circus tanpa sosok Fathullah Luqman Yusuff. Pernah satu ketika dia memberitahu penulis, ‘aku lebih suka melukis, walaupun muzik adalah duniaku yang sebenar. Melukis adalah satu medium untuk aku menenangkan keresahan,’ sebelum menyambung, ‘tapi solat lima waktu jangan dok tinggai!’ Memang benar. Antara karya pertama beliau adalah ilustrasi muka depan kaset kumpulan Sil-Khannaz, sebuah kumpulan metal yang dianggotai oleh lingkungan kawan-kawan sendiri. Bahkan, logo Infectious Maggots, lakaran inlay kaset SKC, semuanya dilukis dan mendapat sentuhan seni daripada tangannya. Umum tahu, dunia underground yang meletup ketika itu mempunyai faham DIY (Do It Yourself) yang memerlukan para ideolognya membuat sendiri setiap perkara, material dari A ke Z tanpa sebarang campurtangan pemodal luar, puak kapitalis atau kilang-kilang besar. Fathul pada tahun-tahun kemudian menambah istilah menjadi DIYF (Do It with Your Friends). Dalam dunia underground, dek faham DIY itu mencambahkan kemunculan para artisan yang memang berbakat tetapi tidak tahu ke mana harus mereka curahkan. Tanpa ragu-ragu, kita tahu Fathullah Luqman Yusuff memang seorang pelukis. Pelukis terkemuka yang paling dekat mengilhami karya-karya lorekan ‘mikro-gothik’ pen Fathullah, tidak syak lagi H.R. Giger merangkap pereka bentuk makhluk asing untuk filem Alien. Juga tidak melampau jika kita menambah M.C. Escher dari Belanda sebagai idolanya walaupun garis satah Fathul tidaklah terlalu real seumpama Escher sang seniman grafik. Apa yang memukaukan kita adalah kehalusan dan ketelitian kerja pennya. Cawan kejiwaan ‘dark’ dan ‘gothic’ yang dihirup dari kehidupan sub-budaya underground justeru membentuk gaya awalnya. Namun tidak terlalu menakutkan sepertimana Grandmaster Giger yang masyhur dengan elemen  ‘nightmarish’nya. Pernah di satu waktu, Fathullah berbual dengan pelukis seni moden lagenda Malaysia, Ibrahim Hussein untuk mendapat nasihat bagi menentu arah gaya keseniannya. Ibrahim Hussein, atau Pak Ib begitu minat dengan rincian lukisan Fathul dan jujur memberi beberapa tips untuk menaikkan semangatnya agar meneruskan karier sebagai pelukis.

Tidak lagi menoleh ke belakang, Fathul mula cergas menarikan jari-jemarinya di atas kertas dengan gurisan pen dan lorekan charcoal. Garisan pennya memang halus. Teliti. Sepertimana dapat kita melihat ketelitian Pak Ib dalam menyempurnakan lorekan ‘gelombang’nya. Bagi insan yang pertama kali melihat lorekan ‘micro-goth’ Fathullah, pasti mereka tertanya-tanya apakah yang ada di minda sang pelukis ini? Bagi kenalan terdekat dan keluarga Fathullah sendiri, mereka maklum sangat dengan personaliti aneh lelaki ini. Kerjaya jam 9 ke 5 petang bukanlah makanan hariannya. Dia pernah bekerja di KFC (makanan kegemarannya sehingga sekarang) demi menampung perbelanjaan di kotaraya era 90-an. Di waktu remajanya, dia pernah menjalankan perniagaan mencetak batik bersama abangnya di Kompleks Peruda, Alor Setar. Penulis dapat membayangkan sketsa tipikal dalam sebuah rumah kampung di mana terdapat seorang anak muda sedang membantah kehendak keluarga agar mencari karier ‘tetap’ dan ‘punya masa depan’. Oleh kerana baginya pekerjaan sebegitu membosankan dia kemudian menongkah arus cuba menentukan nasib sendiri dengan melakukan ‘kerja’ yang digemarinya. Melukis. Mungkin ibunya, yang sering dipanggil ‘mama’ itu salah satu insan paling rapat dan sentiasa memberinya harapan, mendoakan kebahagiaan untuk dirinya dalam menelusuri jalan ‘kesenian’ yang penuh panacaroba ini. Bakat melukis Fathullah digilap secara tak formal dalam teknik catan akrilik dan cat minyak melalui tunjuk ajar Mohd. Yusof bin Ismail, atau dimesrai dengan panggilan Yusof Gajah. Tatkala dia berhijrah ke Jakarta selama beberapa tahun, untuk mempelajari seni lukisan dan catan dia dididik oleh Cubung Wiroputro, dan pada suatu masa oleh Pak Lugiono juga Dwijo. Di Bali, Fathullah mendapat pendidikan seni di Welldo Iki Gallery yang terletak di Kuta. Sejak menjalani fasa pendidikan seni tak formal tanpa campurtangan sebarang institusi seni kerajaan, yakni tahun 1997 hingga ke masa kini dilihat karyanya mula mengambil konsep ‘ekspresionisme’ dan mengambil tema itu – dicampur pula dengan sisi ‘dark’nya dalam bidang muzik independence - dia meluah muntahkan segala warna-warna keriuhan, palit-palit berus keresahan dan titis-titis cat kepasrahan, seolah memberitahu khalayak pengamat seni tampak, bahawa itulah gayanya. Itulah ‘Fathulistiwa’ di atas kanvas, mengambil nama dari sebuah album muzik solonya. Berbeza dengan si guru, Yusof Gajah yang mengambil jalan seni naïf, figura dan minimalisme ikon gajah serta mengeksploit warna-warni ceria dalam berkarya, Fathullah membawa kanvasnya ke dunia insan yang sedang mencari halatuju kehidupan dalam kelakuan ekspresi dirinya. Persoalan kejiwaan seperti ‘Ke manakah aku?’,  ‘Di manakah aku dalam dunia seni?’ tentu sekali mengganggu-gugat minda para seniman muda. Banyak karyanya pada awal-awal karier mengupas persoalan-persoalan sebegini. Warna yang digunakannya juga sentiasa suram seram, gelap dan malap. Bukan sahaja dirinya, malahan sebenarnya semua pelukis di dunia. Satu fasa mengenal diri. Seperti kita melihat gaya palitan berus dan warna di atas kanvas Arwah Datuk Syed Ahmad Jamal sewaktu mudanya, dan bandingkan dengan gaya-gaya kemudian, begitulah yang Fathullah telah alami. Sebagai seorang peminat tegar filem-filem luar yang berkonsep berat dan futuristik, contohnya Star Wars, Alien, Indiana Jones dan Time Bandits, kita maklum dengan kecenderungan dalam gaya lukisannya. Mood warna dan tema daripada filem-filem kegemaran menjadi ilham untuk dipindah ke atas kanvas. Antara pameran yang dapat dikaitkan dengan kegilaan Fathul terhadap wayang ialah ‘Cinemarama – Kanvas Bagai Layar’ (2008) di 360 Gallery dan pada tahun 2006 pameran solonya di Galeri Pelita Hati bertajuk Gerak Kilat. Bahkan, watak-watak figuranya juga kelihatan seperti bentuk wayang kulit.





Seni - Sakit


Tidak banyak dari kita yang tahu, Fathullah Luqman Yusuff yang kita kenali dengan kemesraannya, ramah-tamahnya juga keintiman dalam perbualannya, adalah seorang ‘pesakit’. Hanya keluarga, sahabat, rakan terdekat, dan lingkungan seniman yang sering bersosial dalam dunia seni visual negara sahaja yang maklum berkenaan itu. Kesakitan yang kita bincangkan di sini bukan sekadar sakit demam, sakit kepala, diabetis dan lain-lain sakit fizikal. Kesakitan yang dialaminya adalah jenis psikologi (kejiwaan) dan sakit inilah yang telah dan sedang membentuk halatujunya dalam berkarya, tak kira dalam muzik atau sebagai pelukis ekspresionis tempatan. ‘Aku sakit Paeh,’ begitulah luahan setiap kali penulis cuba bertanyakan hal-hal seni juga falsafah hidup kepadanya. Begitu juga jawapannya kepada semua orang yang baharu berkenalan dengannya. Itulah Fathullah sang ekspresionis. Dia tidak malu bercerita perihal dirinya yang sakit. Dalam masyarakat kita, istilah sakit jiwa adalah sesuatu perkara yang mendorong stigma sosial lagi mengundang pelbagai andaian jahat. Selalunya dikaitkan dengan saka, atau terkena buatan orang. Itu jawapan yang biasa kita dengar daripada dunia ilmu perubatan lama. Berbeza dengan perubatan moden, Fathullah dikatakan menghidap penyakit bipolar, yakni keadaan psikologi yang membuatkan mood seseorang berubah secara melampau. Sehingga kini dia masih mengambil ubat-ubatan terkawal seperti etc, etc, dari Hospital Kuala Lumpur demi mengurangkan kesakitan dalam mindanya.

Sepertimana yang sering diucapkan Fathul, dia tidak boleh keseorangan. Menemaninya, adalah ‘tingkahlaku’ untuk meluahkan sesuatu. Hobinya pada masa lapang adalah bermain permainan game PSP, membaca komik terbitan Marvel, DC atau etcetc dan juga menonton wayang. Pengaruh dari hobi-hobinya lah yang akan kita lihat terlahir dalam beberapa karya lukisannya. Dalam ‘industri’ kesenian, sesiapa sahaja boleh mempengaruhi dan dalam masa sama dipengaruhi seniman lain. Itu tidak ragu lagi. Melalui komik luar negara yang dikumpulnya sejak belasan tahun, secara tak sedar menjadi pengaruh besar dalam alunan berus dan goresan penselnya. Di dalam beberapa karyanya kemudian, terdapat sosok figura manusia separa lengkap. Anggota badan yang dilukis tidak simetrikal, herot-petot, punyai bucu tajam pada siku dan lutut dan selalunya berdada bidang. Gerak dan posisi badan figura itu selalunya kelihatan sama, dari sebelah tepi. Ada ketika satu tangan dinaikkan ke atas, dan satu lagi seolah memegang dada (tingkah seperti hendak mengambil sesuatu). Jika terdapat dua watak ‘makhluk’ yang dilukis, selalunya akan ada watak ketiga di antara mereka. Dan kewujudan watak ‘misteri’ ini biasanya agak tersembunyi. Hanya dirupakan dengan seringkas mungkin oleh sapuan cat, lorekan charcoal dsbnya. Salah satu karyanya, dalam siri ‘Gargantuan’ (3 helai kertas yang dibingkai dengan kaca - koleksi penulis) dilorek secara spontan menggunakan charcoal sosok raksasa yang punyai bentuk-bentuk aneh, bermuka seperti tugu dewa-dewi pujaan Hindu di Bali. Adakala makhluk lukisan Fathul kelihatan seperti hero dan heroin dalam permainan game contohnya dalam karya ‘Robota’ (2007) dan ‘Khayal’ (2007). Banyak pula dilukis kerawang dengan postur makhluknya seolah sedang berpencak silat dan bertempur seperti hikayat dan mitos Hinduisme, memandangkan minatnya kepada sastera Hindu; Mahabharata dan Upanishad. Antara penulis Hindu yang diminati Fathul ialah R. K. Narayan, penulis fiksyen yang bertanggungjawab memberi nafas baru dalam terjemahan Ramayana. Juga sedikit didapati dalam karya Fathul terdapat elemen yang dipengaruhi motif thangka Buddha dari pergunungan Tibet. Motif bunga dan kerawang dengan mood warna merah bersulam dengan warna emas. Antara teknik yang selalu digunakan Fathul dalam membentuk imejan kerawang ialah semburan cat ke atas kertas stensil, tekapan dan juga  penggunaan media campuran. Namun, Fathul tidak mengambil keseluruhan konsep pembuatan Thangka yang selalu menggambarkan sami Buddha, babak-babak dalam agama mereka dan mandala waktu tertentu. Ini kerana, pada akhirnya banyak karya-karya Fathul akan ‘dibilas’ kembali dengan wudhu seorang muslim, penganut Islam bermazhab Ahlussunah wal Jamaah. ‘Aku bukan lukis orang, kalau aku lukis manusia, aku pastikan dia makhluk yang tak siap,’ ulasnya. Sewaktu sang pelukis berkelana ke Bali sekitar tahun 1997, dia banyak dikelilingi elemen hinduisme justeru mempengaruhi karyanya.


Mengimbas kembali hal itu, Fathul mengaku bahawa pengembaraannya ke pulau itu antara sebab dia sakit tenat. Selepas pulang dari Bali, dia diserang bipolar yang teruk. Penulis pernah bertanyakan peristiwa itu kepada kawan-kawan terdekatnya. Pada waktu itu dia dijaga oleh kawan-kawan di Bukit Ceylon demi menyembuhkannya. Tidak tahu kenapa. Berkemungkinan unsur kerohanian Hinduisme yang kuat telah memakan jiwanya, atau terdapat sebab-sebab lain yang dapat dihuraikan dari sudut perubatan moden. Ketika Fathul jatuh sakit, segala karyanya turut mengalami nasib yang sama. Dia pernah melalui sepertimana dialami oleh Picasso yang digelar para peminat seni sebagai era ‘Blue Period’. Sama sahaja seperti Picasso atau kita semua sebenarnya, Fathul juga mengalami keadaan ekonomi yang kadangkakala bagus dan ada ketikanya merosot. Pernah pada suatu waktu dia meninggalkan dunia lukisan untuk beberapa tahun. Juga pada satu fasa hidupnya dia mengambil keputusan untuk berhenti terus melakukan kerja-kerja seni dan muzik lalu mulai mendekatkan diri dengan dunia keagamaan. Betapa, didapati dia tidak boleh terus meninggal pen dan berus lukisan. Atas nasihat mamanya, dia kembali melukis, untuk mengubati kesakitannya. Apabila dia tidak mampu membeli cat akrilik atau minyak yang pelbagai warna, dia hanya (atau terpaksa?) menggunakan warna hitam sebagai warna dominan di atas kanvas. Namun, teknik ‘monokrom’nya ini diguna secara kreatif dan mempunyai makna-makna serta daya kreativiti tersendiri. Menggunakan kepakarannya dalam melorek jalinan urat halus kerawang, palitan bersahaja berus  lukisannya, dia membentuk imejan yang begitu intim dengannya. Adakalanya minimalis. Banyaknya dipenuhi kerawang dan mimik-mimik wajah yang tak siap. Garis-garis yang identikal dengan jiwanya itu mula memenuhi ruang kanvas. Kerana rezeki di tangan Tuhan, terdapat juga pengumpul karyanya yang begitu minat dengan siri hitam-putihnya. Menurut mereka gaya itu sesuai dengan jiwa dan pengaruh Fathul yang gothic dan dark. Ketika pendapatan dari hasil karyanya tidak seberapa, dia terpaksa membuat kerja-kerja lain, namun masih di dalam bidang yang sama yakni dunia kesenian. Dia mengambil upah melukis lukisan abstrak untuk orang-orang persendirian, membuat mural di kedai dan kafe milik rakan-rakan. Fathul juga pernah mengajar kanak-kanak dalam bengkel lukisan seperti yang dibuatnya di Kuala Muda selepas tragedi tsunami. Bengkel itu adalah sebagai kerja-kerja amal yang dilakukan sebagai seorang seniman. Pada tahun 2011 dia juga mengajar kanak-kanak di dalam bengkel anjuran Balai Seni Visual Negara. Bulan November pada tahun sama Fathullah sendiri menguruskan sebuah Bengkel Seni khas untuk kanak-kanak berusia 6-12 tahun. Pada tahun 2009, sewaktu pameran solonya Gerak Kilat, penulis terlihat sekeping kanvas yang memaparkan kelibat manusia berturban kon ala pelajar sekolah kesufian Rumi. Tajuknya, Bliss. Dalam karya tersebut, jelas pusaran berusnya membawa kita ke alam yang lebih Islami. Juga dapat dilihat dalam karya ‘Masih Meminta’ (2007) yang menggambarkan bentuk manusia yang sedang berdoa dan ditambah dengan lorekan pantas kepelbagaian mimik-mimik muka (mungkin penganut ajaran Islam seluruh dunia?) di dalam manusia pendoa tadi. Warna hijau, sebagai warna agung dalam ajaran Islam sekali lagi menjadi dominan di atas kanvas tersebut. Di sini penulis bukan berniat untuk mendefinisikan Islam ‘sebenar’ ke dalam medium lukisan. Kesenian Islam pada era Keemasan di Cordoba, Sepanyol telah terlebih dahulu mempelopori peristilahan itu. Lantaran ia mengambil tempat di kalangan para penulis khat kaligrafi Arab, pengukir kayu dan pandai besi yang membentuk motif flora dan geometrikal Arab. Kesenian Islam kemudian berkembang pesat sehingga sekarang. Apa yang ingin dimaksudkan penulis, apabila seorang pelukis mengambil tema –sepertimana kes Fathul – kerohanian Islam universal ala ajaran sang guru mistik, kita dapat mengagak bahawa terdapat pengaruh separa sedar untuk diri pengkarya kembali ke satu jalan yang telah dilupainya. Namun demikian, dalam pameran tersebut, tidak semua karyanya mengambil tema ‘islami’ totok. Konsep nama Gerak Kilat itu sendiri diambilnya dari sebuah filem Melayu 60-an, parodi kepada filem James Bond yang dilakonkan oleh Jins Shamsuddin (kini Senator). Bak goresan, palitan dan lukisan Fathul yang cepat seumpama ‘gerakan kilat’ tetapi dalam masa memberi ‘kejutan guruh’ kepada khalayak dalam mewaham makna-makna tertentu. Sesebuah lorekan yang pantas bukan hanya terjadi dalam 5-10 saat sewaktu ia dilakukan. Ia mengambil masa seluruh usia sang pelukis yang komited dengan dunia seninya. Pada suatu ketika, Pablo Picasso pernah disuruh seorang wanita agar melukis potretnya. Setelah selesai, dia menyatakan harga untuk lukisan tersebut lantas membuatkan wanita tadi begitu terkejut. Walhal, sketsa itu sekadar mengambil masa 5 minit. Jawab Picasso, sebenarnya dia mengambil berpuluh tahun untuk melukis sepantas dan secantik itu. Pernah melihat seorang pengukir kayu sedang mengetam kayu? Bagaimana jika seorang nelayan menggantikan kerjanya, adakah kualiti dan kelicinan kayu tadi kekal sebegitu? Fathullah seorang pelukis, dia juga sebenarnya mampu menulis. Bukankah dia terlebih dahulu dikenali sebagai penulis lirik untuk Infectious Maggots, kemudian SKC sebelum meletup ke dalam aliran perdana dengan lagu pop Cinta dendangan kumpulan Flop Poppy? Menyelongkar kembali nota-nota Fathullah yang tersimpan kemas di dalam sebuah beg hitam, penulis menemui sehelai kertas bercetak yang tertulis sebuah sajak peribadi. Fathullah sebagai penulis lirik lagu juga mampu menulis sajak-sajak sureal, seolah katarsis pelega jiwa. Sungguh aneh apabila pertama kali membacanya. Mungkin juga kelakar dan terkandung satira terhadap kehidupan yang banal. Namun, apabila membaca kali kedua, ketiga dan seterusnya dapatlah kita menghadam apa sebenarnya yang disuap oleh artis kita ini. Contoh seperti sebuah nota coretannya di bawah;


Segala Rasa Yang Di Dada.

Sulaiman akhlakhen siri sajak terpancut yang manis sekali...
Sulaiman akhlakhen siri sajak terpancut yang manis sekali...those seconds pass me by like a jealous lover in a fight...they wouldn’t let me be...by myself untuk terus bermain2 bebuih sabun bersama imejan virtua untuk tatapan si tua...kutuk tak sedar diri...jam dah 5:35 pagi masih belum selesaikan solat ISHYAK lagi...dissssssssssinnnngCONnection and BERDIRILAH...and face REALITY...yang terus bernafas hingga saat ini...ehsan dia who hang the stars up above your head...SULAIMAN...Sulaiman lalu bergegas aku ke tandas...sekian majulah rhythmic gymnastic untuk negara.


Dalam sajaknya, jika dibaca berkali-kali jelas dia sebenarnya sedang mengajak kita mengadap realiti, kebenaran di hadapan kita. Bagai manusia fatalis, dia cuba mengimbanginya dengan berlaku jujur bak sang optimis yang punya idealis murni. Mungkin roh manusiawi dalam diri Fathul itu terpancar dalam nur sebagai penganut Islam, yang sering menyesal akan setiap dosa, namun sentiasa menganggap bahawa Tuhan itu kekal sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Lantaran dia juga mengajak kita agar kembali kepada tali Tuhan biarpun berjuta kali kita terhumban ke gaung dosa-dosa insani. Watak Sulaiman sudah tentu watak fiksi. Tidak mustahil juga dia itu adalah watak halusinasi yang dilihat Fathul tatkala diserang bipolar, Wallahu’alam. Kerana sebagai pesakit bipolar, atau gangguan mania-depresif, ataupun kronik ke tahap psikotik; mereka sering diganggu oleh entiti aneh yang sebenarnya sering dekat dengan diri mereka. Bukalah segala teori daripada Jung atau Freud, Uncle Seekers atau Dr Fadzilah Kamsah, kita takkan pernah tahu melainkan menghidapnya sendiri.

Idola – Hala



Fathullah yang kita kenali bukan seorang pelukis yang meniru alam dan persekitaran secara bulat-bulat. Mengukur skala dengan jari dan pensel sambil tangan didepakan ke depan kemudian memindahkan ke atas kertas bukan dunianya. Dia juga bukannya seorang seniman mulut becok yang melecehkan para pengamal seni yang mengambil jalan ‘realisme’. Jalan ‘ekspresionis’ dan ‘abstrak’ adalah minatnya. Sudah menjalar dalam urat darah badannya. Sehingga sekarang kita tak pernah melihat lukisan potret dan lanskap yang ‘seolah hidup’ daripadanya. Namun, jangan beranggapan artis ekspresionis ini seorang pelukis yang gagal. Bermula dari karyanya yang dijadikan tukaran ala sistem barter demi segelas teh tarik, kemudian karya-karya selepas itu pernah dijual dengan harga RM5, RM10, naik ke RM200-RM500 sekeping kanvas pada tahun 90-an hinggalah ke tahun 2009 apabila sebuah kanvas bersaiz etc etc memberinya pendapatan sebanyak RM9,000, kita dapat memahami bahawa perjalanan seni manusia yang bernama Fathullah Luqman Yusuff ini bukanlah mudah, dan sudah tentu sebenarnya tidak pula mustahil! ‘Tempur terus!’, sepertimana yang sering dilaung-laungkan kepada jiwa-jiwa muda di dalam lingkungan kenalan Myspace dan sekarang, Facebooknya, begitulah semangat lamina yang sedang membakar dan bernyala di minda dan jiwanya. Nyala Mata Minda Arts adalah satu kolektif yang ditubuhkan oleh Fathullah Luqman Yusuff pada tahun 2010 demi memberi semangat dan ruang untuk para pengkarya muda mengikut jejak langkahnya. Jika tidak pun, mengumpul semangat untuk sentiasa berani mencipta karya. Tidak dapat tidak, apabila seseorang seniman mula mendapat perhatian melalui penghasilan karya yang unik, kita akan dapat melihat seperti cendawan tumbuh, beberapa anak muda mula melompat ke dalam wagon yang sama melukis mengikut gayanya. Fathullah juga tidak terkecuali dari fitrah sebegini. Jika pada suatu ketika dia didapati mengikut rentak Dubuffet ke jalan Art Brut, bak kata Sei Hon, sewaktu mengulas tentang gaya Fathul; atau mendapat ilham daripada H.R Giger dalam anatomi makhluk anehnya, atau Picasso dalam tingkah figura dan daya spontan palitan berusnya, atau Van Gogh dalam ‘kegilaan’ dan obsesinya, atau Yusof Gajah dalam kenaifannya, atau Pollock dalam percikan dan simbahan catnya yang selamba, atau sesiapa sahaja pelukis dunia dan tempatan, Fathul tetap saja menjadi Fathul. Kerana jika kita tenung dan renung karya-karyanya, kita tak nampak satu pun peniruan dan obsesi kental terhadap karya-karya pelukis lain. Fathullah Luqman Yusuff bukan Kandinsky, bukan Klee, juga bukan Mondrian. Apatah lagi bukan Latiff Mohidin, Awang Damit, Yusof Ghani mahupun A. Shukri Elias. Nama-nama tadi, kerana mereka mempelopori jalan dunia seni tampak terlebih dahulu, sudah tentu secara tak sedar melampiaskan cebisan (paling kurang pun sekelumit) warna idealisme mereka ke atas kanvas pelukis muda terkemudian. Maka didapati sekarang pelukis-pelukis muda ‘outsider’ (label pelukis yang tidak belajar seni secara formal di sebarang institusi seni negara) lain juga mulai mengambil langkah yang pernah dilaluinya. Mereka juga melihat ke sosok Fathullah seperti melihat diri mereka di masa mendatang. Imejan tugu berunsur Hinduisme Bali, lakaran primitif seperti dalam gua, motif awan larat, satah kubisme ala Piccasso, kecelaruan warna seni native Basquiat, garisan robotik dan alienisme Giger adalah tema-tema biasa yang dicurah oleh pelukis aliran ‘moden’, neo-ekspresionisme atau segala apa istilah baharu lain dalam menakrif cabang kesenian yang belum pupus, sebelum mengubah dan mengadunnya untuk membentuk identiti dan trademark tersendiri. Proses kematangan dalam karya selalunya mengambil masa berpuluh tahun, mungkin hingga ke akhir hayat seorang pengkarya itu, tatkala sang pengukir nisan menempa namanya di batu.

Pernah seorang peminat Fathul bertanya, ‘apa perasaan anda apabila berjaya mendapat nama sebagai pelukis?’ Jawabnya, ‘nama aku diberi oleh mak aku, sejak lahir lagi.’ Jadi, tak timbul persoalan menempa nama atau ingin menjadi ternama dalam niat berkarya. Kenikmatan untuk mendapat nama merupakan godaan paling akbar terhadap setiap artis/seniman mahupun politikus. Kerana manusia hidup hanya sekali, seorang seniman juga perlu berani membuat apa saja, asalkan mengikut syariat, ujar Fathullah Luqman Yusuff setiap kali menghabiskan sebarang perbualan bersama temannya.





*Artikel ini ialah cebisan daripada buku Tempur Terus, yang memuatkan nota-nota karya Fathullah Luqman Yusuff.


MPR: Catatan Sang Mantan

$
0
0

Oleh Aedi Asri

Mei 2012 lalu, aku dihubungi editor majalah Tunas Cipta melalui facebook, mempelawa untuk menulis dalam ruangan Buah Pena Minggu Penulis Remaja (MPR) untuk keluaran seterusnya. Aku sedikit terkejut, kerana ruangan itu disediakan kepada bekas peserta MPR untuk ceritakan pengalaman menyertai MPR dan kegiatan penulisannya selepas itu. Aku tidak aktif menulis berbanding bekas peserta lain dan tidak pula pernah hadir ke program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selepas tamat program. Hal yang layak ditulis tidak lebih setengah muka. Jadi aku tolak.

Maksud aku hal yang ‘layak’ ditulis untuk disiarkan di Tunas Cipta. Dalam bilik aku ada beberapa naskhah majalah itu, jadi aku tahu.

Aku kenal MPR juga melalui ruangan sama pada tahun 2009. Giliran Roslan Jomel mengisi ruangan ‘Buah Pena MPR’ dalam isu itu. Itulah kali pertama aku beli Tunas Cipta atau mana-mana majalah Dewan dan aku tidak pasti kenapa. Aku ambil dan selak beberapa halaman di kedai majalah, bawa ke kaunter dan bayar.

Di sebuah restoran di Ampang Park, aku buka halaman majalah asing itu satu persatu. Penuh dengan nama yang aku tidak kenal. Kemudian, aku jumpa ruangan sajak dan cerpen. Belek lagi, aku jumpa borang untuk hantar karya. Aku rasa terpanggil, lalu aku salin balik sajak dalam buku catatan di kertas A4 menggunakan pen Pilot G-2 0.7 mm. Aku lipat cantik-cantik dan simpan di dalam beg (salinan sajak itu dipos kepada editor beberapa hari kemudian, tanpa sebarang surat iringan).


Sajak itu ditulis beberapa hari sebelumnya, di dalam bas Metro dari stesen LRT Ampang ke KLCC. Beberapa bulan selepas tamat pengajian dan menganggur. Kebosanan dan tanpa tujuan, aku merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur, dengan harapan akan turun wahyu atau apa-apa saja untuk aku.

Beberapa bulan berlalu dan aku masih dengan rutin yang sama. Itu kali pertama aku hantar tulisan kepada mana-mana pihak, jadi aku tiada apa-apa jangkaan daripadanya. Ia berlaku spontan. On the spur of the moment.

Pada satu petang, seorang pegawai DBP menelefon aku, bertanya sama ada berminat untuk menyertai MPR. Beliau menerangkan secara ringkas mengenai program itu dan aku pun setuju. Tamat panggilan, aku terus buat carian internet. Aku jumpa macam-macam dan mula rasa teruja.

MPR yang bermula pada 1985 (ketika itu Minggu Remaja) lahir daripada idea Johan Jaafar ketika menjadi Ketua unit Buku Remaja di DBP. Ali Majod dan Othman Puteh adalah nama yang sering dikaitkan dengan MPR. Antara penulis dikenali hari ini; Rahimidin Zahari, Shamsuddin Othman, uthaya Sankar SB dan Saharil Hasrin Sanin lahir dari program ini. Dan tidak lupa Faisal Tehrani.

Antara kritikan yang sering dihalakan kepada MPR adalah ‘kegagalannya’ melahirkan bilangan penulis yang sepadan dengan jumlah peserta dan wang yang ditaburkan. Dengan purata kira-kira 20 peserta saban tahun, jumlah penulis yang menghasilkan karya hebat, atau paling kurang kekal menulis dilihat kecil. Amat malang jika kritikan ini datang dari orang sastera sendiri. Khidmat mereka lebih diperlukan di Jabatan Audit Negara.

Selepas tamat program, peserta secara automatik memasuki ‘persaudaraan’ Mantan MPR. Misalnya, aku adalah mantan MPR 2009. Aku pernah baca dalam satu artikel dalam Dewan Sastera. Seorang penulis tidak dapat menyertai MPR pada 1994 kerana menyambung pengajian ke luar negara. Entah bagaimana, beliau mendapat gelaran mantan MPR 1994 kerana memenangi anugerah dalam Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (HSSBR) pada tahun itu. Rupa-rupanya, kata ‘mantan MPR’ bukan sekadar membawa makna ‘bekas peserta MPR’.

MPR juga dikatakan sebagai projek anak emas DBP. Mungkin dari situ lahir kritikan program ini dilihat eksklusif. Gelaran itu mungkin mengandungi berat tersendiri pada suatu ketika, tapi apa maknanya menjadi anak emas DBP pada zaman ini?

Menerbitkan buku di bawah DBP adalah kerja hampir gila atau perancangan licik untuk jadi immortal. Kerana buku kau hanya akan dijumpai di jualan gudang (kumpulan puisi – RM5, novel -RM10), selepas 10 tahun bertapa.

10 Oktober lalu, laman facebook Dewan Sastera mengajak khalayak  hadir ke Hari Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan - di Dewan Tertutup Nilai, Seremban. Di Seremban, Negeri Sembilan!

Awal pagi lagi aku sudah bersiap untuk ke Menara DBP. Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana. Selepas mendaftar di lobi, aku diarah ke dewan di aras pertama. Majlis pertemuan Alumni MPR sedang berlangsung. Aku mendaftar lewat dan acara sudah pun bermula.

Bekas peserta yang rata-rata berusia 30-an sedang bercerita mengenai dunia penulisan mereka serta pengalaman semasa program kepada ‘adik-adik’. Sesekali seisi dewan ketawa dengan inside joke MPR. Ada juga bekas peserta yang sedikit defensif apabila menjawab beberapa kritikan - antaranya yang disebut sebelumnya - terhadap MPR dan pesertanya.

Aku duduk di bahagian hampir hujung memerhati keadaan sekeliling, cuba meresap masuk kesemuanya.

Dari duduk di kerusi dewan kemudian makan tengah hari di kantin, seterusnya berlegar di lobi sehingga sampai ke Port Dickson, fikiran aku cuba memproses apa yang dikatakan sebagai ‘dunia sastera’. untuk tujuh hari seterusnya, entah berapa kali aku dengar kata ‘sastera’. Ia terbang di sekitar, mengganggu dan meminta diberi perhatian. Dan memang aku terganggu dan hampir setiap masa memerhatinya.

Selain aku, semua peserta kelihatan terbiasa dengan dunia sastera Malaysia. Dalam erti kata mengikuti anugerah sastera tahunan, tahu status dan kultus MPR, sering menghantar karya dan tersiar di media hinggalah kepada kenal editor majalah Dewan. Ketika sesi suai kenal rasmi, hampir semua menamakan Faisal Tehrani sebagai penulis kegemaran. Mereka panggil Faisal Tehrani dengan singkatan FT.

Selepas selesai pembahagian bilik dan beberapa keperluan lain, kami ke bilik kuliah untuk mendengar syarahan Anwar Ridhwan. Pada masa itu, beliau baru sahaja dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Cerita tentang sejarah hidup, dunia penulisannya dan kaedah berkarya. Acara alu-aluan untuk menaikkan semangat peserta. Seperti tulisannya, ucapan Anwar tepat dan padat. Tidak lewah dan tanpa kias.

Hari-hari seterusnya adalah untuk sajak dan cerpen. Kuliah umum dijalankan oleh fasilitator program, Shamsuddin Othman dan Salmiah Ismail untuk kategori puisi serta Zaharah Nawawi dan Nasriah Salam untuk cerpen. Selepas itu kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan akhir sekali  sesi bedah karya - mungkin sama sahaja dengan mana-mana bengkel penulisan lain.

Peserta diajar kaedah asas penulisan. Cerpen dengan gaya naratif dan latarnya. Dan yang aku masih ingat -  metode ‘show, don’t tell’. Puisi pula dengan pemilihan diksi, penggunaan metafora dan lain lain. Selain hal praktis, turut disentuh soal tujuan menulis, melihat diri dalam mencari cetusan karya. Semua ini tentulah pengetahuan yang berguna. Mencerahkan peserta akan kepentingan wajah kepada ruh karya yang lahir dari fikiran dan rasa, diam terbenam dalam diri setiap penulis.

Namun pada beberapa ketika, ada cubaan menceroboh masuk ke wilayah arah dan subjek penulisan. Apa yang patut dan tidak patut ditulis. Misalnya, setiap karya perlu memberi pengajaran dan mendatangkan kebaikan kepada pembaca. Aku tidak dapat mengelak daripada merasakan bahawa definisi ‘hal yang patut ditulis’ dan ‘mendatangkan kebaikan’ yang dibawa tidak luas, rigid nilai dan bersifat hitam-putih.

Ia mengundang rasa tidak senang. Bukankah menulis itu datang daripada pengalaman dan persekitaran? Daripada keduanya kita membentuk pandangan alam. Malah pembacaan masing-masing pun jauh berbeza dan beragam, sedangkan ia turut mempengaruhi penulisan.

Akibat faham ‘tulis untuk mengajar’ inilah banyak karya sastera di pasaran membosankan. Terlalu bongkak bersyarah dan beku didaktiknya. Terburu-buru menjadi hakim dan menafikan realiti manusiawi serta persoalan dan pergolakan yang wujud di dalamnya. Dari menara tinggi memekik ke arah pembaca di bawah, tanpa menyedari akhirnya yang didengar hanyalah bunyi-bunyian monotonous yang membingitkan.

Ikan di laut asam di darat. Begitu juga penulis dan pembaca. Pelbagai pemikiran dan rasa dan saling mencari antara satu sama lain.

Seminggu bersama ‘penulis-penulis remaja’, perbualan tentu sahaja menjurus kepada kesusasteraan. Buku yang dibaca - karya terbaru di media - kursus yang dihadiri sebelum ini. Ada beberapa peserta bersedia awal membawa bersama Naratif Ogonshoto untuk ditandatangani Anwar Ridhwan ketika acara pertama.

Kami dibekalkan satu buku yang memuatkan salinan karya peserta yang dihantar ketika memohon menyertai MPR. Kecuali aku, kesemua peserta memiliki lebih dari satu karya. Sedangkan, satu-satunya sajak aku yang dimasukkan belum pun tersiar (hanya disiarkan beberapa bulan selepas itu).

Sejak hari pertama aku merasa cukup rendah diri. Seperti biasa aku lebih banyak mendengar. Sama ada dalam bilik kuliah mahu pun di luar. Diam aku ketika itu bukan diam berisi, tapi kerana kurang tahu.

Tempoh hari, seorang rakan peserta menanda aku dan beberapa yang lain di Facebook. Meminta pandangan untuk kembali mendapat idea menulis. Kata-katanya itu mengingatkan aku kepada ‘persaudaraan Mantan MPR’ yang penuh kesantunan adik-abang. Setiap karya yang disiarkan (biasanya di majalah Dewan dan akhbar mingguan) dimaklumkan dan ucapan tahniah tidak mengambil masa lama untuk memenuhi ruangan komen.

Sejujurnya, aku merasa sedikit sesak, terutama panggilan ‘adik-abang’ yang aku rasa memang budaya MPR. Aku bukan lagi pelajar sekolah asrama yang kuat budaya senioritinya. Aneh, hal ini kecil sahaja jika dipandang dari sudut yang lebih luas tetapi tetap mengganggu dan menyebabkan aku rasa terasing.

Walaubagaimanapun, MPR telah membuka mata aku, dan juga pintu-pintu yang selama ini tidak pernah aku ambil peduli. Aku tidak ingin berfikir sejauh menilai tahap keberkesanan dan impaknya dalam sastera Malaysia, tetapi dalam senarai setengah muka kejayaan DBP memainkan peranannya pada masa ini, MPR barangkali berada di antara yang teratas.



*Tulisan ini pertama kali diterbitkan di Fragranfrantik isu November. Emel fragranfrantik@gmail.com untuk pertanyaan lanjut.


Masyarakat Jalan Pasar, Asmara Lelaki Berahi, dan Wartawan Super

$
0
0

Oleh Hafiz Zainuddin

Mahu merasa punya karier seperti orang lain, saya memilih untuk menjadi wartawan setelah bergelut dengan kecelaruan identiti dan menjadi mangsa obses Melayu Islam tipikal kelas menengah atas yang selesa dalam ruang lingkup kehidupan unik, berbuka puasa di Starbucks Café dan masuk MLM untuk cepat kaya.

Apapun, saya disudahi dengan kesudahan yang kurang bagus di Shah Alam lalu membawa diri pulang semula ke kampung halaman dengan hati yang berparut.

Akhirnya, berpusat di Kuala Lumpur, kerja kewartawanan saya kini bukan sekadar apa yang mahu dirasakan tetapi menjadi sebahagian dari hidup dan minat saya biarpun berada dicelah sesak bingit kenderaan dan kumpulan-kumpulan kongsi gelap pelbagai nama dan panji beserta pelacur wanita dan maknyah kelas menengah dan bawahan yang masih mampu membuatkan ghairah ini tergamit.

Lima bulan berlalu terasa begitu cepat. Seorang teman yang dulunya mengandung dua minggu, kini perutnya makin membesar dan kandungan sudah pun berusia enam bulan. Pengalaman lima bulan sebagai pelapor berita masih jauh dan belum cukup untuk dibanggakan. Malahan ia mengajar untuk saya lebih licik, berani melanggar segala protokol dan rasa malu di hati demi kepuasan kerja atau kerja saya sekadar kepuasan yang separa inzal.


Sebelum ini, mimpi menjadi wartawan tidak pernahpun menjelma dalam fantasi saya kerana ketika itu saya bercita-cita untuk menjadi sebagai penjawat awam selepas usaha niaga kecil saya di Shah Alam mengalami kejatuhan. Ketika itu, asal saja punya kelapangan, banyak masa dilaburkan melayari iklan-iklan jawatan kosong kerajaan di pelbagai agensi dan jabatan serta mengisi borang dalam talian mahupun secara konvensional melalui pos secara sistematik.

Bahana pemerintahan Tun Mahathir. Saya kira, inilah juga pengalaman awal muda mudi Melayu tipikal lepasan universiti tempatan yang sangat dahagakan belas ehsan kerajaan, tidak tahu berdikari, mengharap agar diri dibantu, dibelai dan diberi kerja demi mengisi periuk nasi supaya mudah membuat pinjaman dengan Bank Rakyat untuk berkahwin atau membeli kereta impian dan modal menambah pendapatan sampingan dengan menjadi agen-agen produk kesihatan atau kontraktor kecil-kecilan. Rasanya, kejayaan idealisma muda mudi Melayu pasca DEB-Mahathir  dan Transformasi Najib ini harus kita cantingkan semula agar mereka menjadi anak jantan bersaing di arena yang adil dan terbuka.

Wartawan, guru, agen insuran atau pemandu lori, biarlah apapun cara pandang, cara hidup dan karier yang dipilih. Perkara utama harus diberi penekanan sekarang adalah bagaimana menjadikan diri serasi dengan persekitaran dan tuntutan nafsu kerja dan nafsu semasa kerana segalanya berubah dengan sebab dan tidak juga tanpa sebab perubahan datang tanpa diundang.

Segalanya telah berlalu begitu pantas. Dalam satu tempoh yang singkat, semuanya berubah mengikut ketentuan qada’ dan qadar. Saya percaya pada tuhan dan pada segala keajaiban yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Pesan mama, selalulah berdoa dan saya percaya, doa mama dan kesungguhan doa itulah yang membawa saya ke dunia baru ini. Alam kewartawnan yang menjadikan saya tak lekang dengan notebook siang dan malam.


Wilayah gelap Jalan Pasar

Tempat saya bekerja ini bukan di kawasan yang indah seperti di Shah Alam. Kecuali sisi gelap Shah Alam seperti di Sri Muda dengan segregasi kaum yang nyata dan percambahan kelompok komuniti luar yang tak terkata; keluar dari pejabat sudah terlihatkan tasik dan pohon-pohon rhu yang hijau merendang. Adakalanya pemandangan tasik Shah Alam dihiasi dengan migrasi beberapa jenis burung dari benua lain. Indahnya hidup di Shah Alam. Pesona Shah Alam sehingga kini umpama tarikan magnet buat saya. Tapi biarlah, kali ini giliran Kuala Lumpur.

Kota ini besar, pejabat saya bukan seperti di Jalan Yap Kwan Seng, jauh sekali seperti di Putrajaya. Ia juga bukan kawasan selesa bagi semua orang kerana kawasan ini kawasan marhein, marhein dari semua golongan.

Ini Jalan Yew off Jalan Pudu, cuma beberapa penapak dengan Jalan Pasar, ia berhampiran Masjid Alam Shah Cocraine, bersebelahan gereja Baptis Bethel, turun pejabat sudah ada pub, spa dan snooker. Kalau sedikit kehadapan, kawasan perumahan Laksamana. Kalau sedikit kebawah, kawasan Samping. Sekitar jam empat pagi lagi, udara disini sudahpun berbau hamis dan busuk.

Malaysia gaya Jalan Pasar

Saya sudah pun biasa dengan bau busuk nan hamis ini. Saya namakan kawasan tempat, pejabat saya bekerja ini sebagai sebuah wilayah. Sub-wilayah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diperintah oleh Raja Nong Chik. Wilayah ini wilayah majmuk, tidak sekadar majmuk ras, juga majmuk warganegara.

Dek kerana dasar kemasukan pekerja asing agak longgar dan bercelaru ditambah dengan sebahagian kakitangan kerajaan yang kuat makan rasuah membenarkan gambaran laporan Ketua Audit Negara yang lalu, disini menjadi antara mula tempat penemuan perantau Kathmandu dengan dengan wanita Yangon yang mulus dan manis. Tak kurang juga anak muda Kerala dan Tamil Nadu menjadi buruh mengangkut sayur dan ikan. Belia dan beliawanis Minang, Jawa, Bugis dan sebagainya dari Indonesia turut mengambil posisi mereka yang tersedia luas disini sebagai buruh am dan penjaja buah dan rokok.

Kemajmukan disini sudah melangkaui slogan 1Malaysia kerana Perdana Menteri Najib mungkin terlepas pandang dalam pelan transformasinya bahawa selain hab halal, Malaysia juga merupakan hub pengumpulan tenaga kerja manusia samada secara legal atau secara non-legal yang terkenal di pelusuk negara dunia ketiga, antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Kerana ini kawasan pasar, ia penuh dengan suara dan pekik-bingit kehidupan yang turut mempengaruhi gerak rasa dan gerak joget saya di Kuala Lumpur.

Keberagaman warna kehidupan di Jalan Pasar ini tidak terlepas dari keperluan fitrah seksual manusiawi.

Seperti malam-malam indah di tempat lain. Kaum lelaki yang berahi menjadikan wilayah ini tempat mereka berhibur beradu asmara melupakan seketika keadaan rumah-rumah flat mereka yang sesak, sempit dan bising seperti di Kerinchi. Seawal pagi lagi, kawasan ini telahpun dihiasi dengan senyum manis pekerja seks yang seksi tekun dan setia menunggu pelanggan demi menyara kehidupan anak-anak tidak berbapa sehari-hari.

Biarlah kata orang ini wilayah gelap walau banyak kedai menjual lampu dan LED yang mengerlip. Malamnya suram sepi, ramai pelacur mencari rezeki. Siapa peduli?

Inilah antara contoh terbaik kawasan pasar yang sibuk ala Malaysia yang juga menjadi tempat menumpang teduh bagi segelintir masyarakat terpinggir hidup bergelandangan bersama kaki-kaki botol yang sentiasa tidur. Peruntukan bantuan kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak pula terlihat disini mungkin kerana mereka bukan pilihan favourite penguasa atau peruntukan sudah pun habis disebabkan Malaysia punya ramai golongan masyarakat yang miskin papa kedana.

Sama seperti dua puluh tahun lalu. Begitulah keadaannya Jalan Pasar sehingga kini kecuali beberapa buah rumah kedai dan bangunan pejabat yang sedang dalam pembinaan.

Mengusahakan takdir

Wilayah ini harus memberikan perasaan yang selamat dan selesa buat saya. Jika tidak, letak punggung saya disini mungkin tidak lama dan mungkin terpaksa melangkah lagi. Menjadi seorang wartawan merupakan cabaran menyeronokkan. Saya belajar dari setiap kesalahan. Bukan belajar untuk semuanya jadi betul. Saya perlu selesa untuk dipersalah, dan selesa juga untuk diperbetul. Itulah inti ajaran bos saya.

Ini adalah sebahagian kisah saya dan sebuah wilayah bernama Jalan Pasar dengan segala macam wajah, ragam, rengek, pekik masyarakat. Ia jauh berbeza dengan Jalan Bukit Bintang, Jalan Petaling mahupun Jalan Raja Laut. Samada wilayah ini akan terus begini atau bertukar sepertimana bertukarnya Pudu Sentral kepada UTC, kita telah dibuktikan bahawa transformasi fizikal tetap tidak akan berjaya tanpa pengisian dan peningkatan taraf serta kualiti hidup masyarakat.

Lihat sajalah kesesakan lalu lintas, biarpun jalan raya diperlebar setiap hari-saban tahun. Keadaannya tak berubah; kecualilah wujud kesedaran kolektif masyarakat untuk berkongsi kenderaan atau menaiki pengangkutan awam. Apapun, cita-cita untuk mempunyi masyarakat sebegitu mungkin cuma sebahagian dari utopia. Peningkatan harga bahan api dan kenderaan bukan penghalang masyarakat kita untuk membeli dan memperagakan kereta masing-masing.

Jalan Pasar adalah contoh terbaik sebagaimana juga di sekitar kawasan Chow Kit bersama Lorong Haji Taibnya; termasuk disini, sebahagian besar warga di Kuala Lumpur telahpun memiliki wajah-wajah sakit, tertipu dan tersepit dicelah kelangkang pembangunan dan Pelan Transformsi Kerajaan demi mengejar impian Malaysian Dream menjelang 2020 nanti.

Berdoalah agar Malaysia berubah bertambah baik dan diberkati tuhan. Maka dengan segala kuasa kewartawanan yang ada pada saya, saya dengan ini mengarahkan agar Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan.




*Penulis ialah wartawan, master reiki, dan seorang yang menjadikan David Arumugam dan Sharifah Aini idolanya. Tulisan ini pertama kali diterbitkan di zine Fragranfrantik isu #01.

Interviu: Fathullah Luqman Yusuff

$
0
0

Oleh Raja Syahrul Helmi


Dalam kemeriahan manusia di Amcorp petang Ahad itu, aku dapat mengesan Fathul berdiri di depan pintu utama Excess Books dengan bajunya yang terang ceria. Berambut pendek, berkaca mata, memakai t-shirt berkolar warna cyan, seluar khakis krim dan kasut Crocs.

Tiada lagi Adidas, fikirku, tersenyum. Sambil tersengih, aku hulur salam. Beberapa hari lepas,  Yudi minta aku untuk aturkan temu janji. Subjeknya adalah seseorang yang kuanggap wira aku ‘zaman CM’ dulu. Seorang pelukis, pemuzik, penulis, dan entah apa lagi bakat yang ada pada seorang yang bernama Fathullah Luqman Yusuf (FLY).

Kerana maklum Fathul seorang yang sibuk, apa lagi baru saja berkahwin, aku tidak meletakkan harapan tinggi. Tapi sebaliknya, Fathul bersemangat untuk interviu ini. Semangat sama yang ada ketika di atas pentas sebagai vokalis Spiral Kinetic Circus mahupun Infectious Maggots.
Pejam celik, makan berak, zaman itu sudah lebih sepuluh tahun berlalu. Tentu saja petang itu aku berdepan dengan Fathul yang sudah sepuluh tahun lebih tua. FLY yang sekarang ini lebih banyak menghabiskan masanya di bengkel dengan berus dan cat daripada melakukan belik-kuang di atas pentas atau berkeliaran di Pasar Seni.

Selepas ketibaan Yudi dengan kamera, persetujuan dicapai agar temu bual dilangsungkan di tempat terbuka saja, tak perlu penghawa dingin, kerana masing-masing lebih selesa berbual dengan rokok di tangan.

Meredah hujan gerimis, kami berjalan ke kedai mamak tepi sungai di belakang bangunan Amcorp. “Kita minum dulu,” Fathul buka bicara. Selepas menghirup minumannya, Fathul menyalakan sebatang Sampoerna hijau. Itu aku ambil sebagai isyarat temu bual boleh dimulakan.







Selamat pengantin baru. Bagaimana kehidupan berumah tangga?

Terima kasih.

Tulis situ, abang Fathul cakap, suruh budak-budak muda ni kahwin cepat. Tolong lah. Rugi korang. Isteri abang tak ada masalah. Dia faham benda ni bukan main-main, muzik ke, lukisan ke. Dia kenal saya sedikit-sebanyak. Lagi pun kita buat untuk pendapatan, makan minum, bayar sewa rumah daripada hasil kerja kita. So takde problem la. Kalau takde pendapatan langsung, payah lah kan. Duduk rumah tulis buku, melukis, buat lagu sampai tak de kemasukan. Tanggungjawab keluarga, bila buat kerja, stress la kan. So bila kita cari makan dan buat benda yang kita suka sekaligus, berbaloi lah. Setakat ni, saya masih buat benda yang saya suka. Daripada dulu sampai sekarang, alhamdulillah.

Saya sendiri pernah kahwin muda, dan saya sakit. Perkahwinan tu tak berjaya. Lepas tu berseorangan, lepas kahwin tu kita trauma sikit lah. Takut tak jadi ke apa. Orang seni ni potensi untuk sakit tinggi tau. Ini memang natural. Kena jaga-jaga lah. Ini percubaan saya yang kedua. Semoga kekal lah. Insya Allah. Amin.


Dengar sekarang sedang hiatus. Banyak melukis?

Sekarang saya buat persiapan untuk pameran solo. Jadi saya banyak tumpukan kepada lukisan-lukisan saya. Siapkan, pakejkan, framekan, dokumenkan, bagi tajuk, tulis sikit, jadi sibuk ke arah pameran tu.



Bila pameran tu?

Awal tahun depan, InsyaAllah. Tempat dah ada, tak confirm lagi. Venue, tunggulah nanti saya update.



Abang siapkan berapa lukisan untuk pameran tu?

Macam selalu, saya dalam 30 ke atas lah. 35 tu dah kira best lah. Kali ni solo. Work yang belum pernah dipamerkan betul-betul. Dari 97- sampai 2012. Work baru dalam 40%.

Boleh cerita sikit macam mana abang mula melukis? Sebab saya kenal abang mula-mula sebagai pemuzik.

Aiyoo. Bila mula pegang pensel lah kot. Kecik-kecik dulu. Walaupun adik mungkin lebih kenal saya sebagai pemuzik, tapi dalam muzik scene, saya contribute untuk cover fanzine, cover album Sil Khannaz, Black Skull, ada dua tiga band lain. Paling saya ingat saya buat untuk Sil Khannaz lah. Conception of Madness. Album tu pun boleh tahan jugak lah lagu-lagunya. Masa umur 20an. Ada buat fanzine untuk Aedes, tolong Joe Kidd. Memang melukis dari dulu.



Bila mula-mula serius melukis?

Kalau betul-betul tahun 97. Saya ambil keputusan untuk ke Indonesia belajar. Saya belajar dengan cikgu. Bukan dalam institusi ke, sekolah ke. Saya berguru macam orang dulu-dulu. Macam belajar orang belajar mengaji. Kat Europe pun dulu, siapa tak mampu, diorang pergi belajar dengan painter. Kelebihannya, kalau di institusi atau kolej, satu cikgu ajar 30 orang murid. Untuk situasi saya, satu cikgu satu murid. Jadi, banyak dapat rahsia, shortcut, teknik yang lebih personal.



Dalam seni lukis, siapa idola atau pengaruh abang?

Ramai sebenarnya. Ada satu masa tu, ada seorang pelukis yang design tema alien, nama dia H.R Giger. Tapi sebelum tu lagi, saya melukis sebab kaver album muzik. Kaver vinyl, kaver kaset. Saya tertarik tengok kaver tu semua. Iron Maiden, Black Sabbath, contohnya. Bagi saya, muzik dengan art tu jalan sama-sama. Jadi pengaruh saya, dari komik, kaver album, tshirt design, pendek cerita, pop culture.



Bila pameran terakhir? Bagaimana sambutan?

2009 di Pelita Hati Gallery. Show tu nama Gerak Kilat. Pak Samad Said buat opening. Sambutan Almdulillah. Seperti biasa lah, Pak Samad borong banyak. Dia rasmikan, dia pun support. Beli artwork saya. Saya sangat terima kasih atas patronis atau suportive, kawan-kawan lain, collector yang selalu ulang-kali beri sokongan.



Oh, macam itu, kira masih macam dulu lah, pelukis perlukan patron?

Kena ada. Dari zaman dulu lagi, istana dengan church, akan sponsor. Untuk propaganda, sebenarnya. Tu yang bahaya dengan lukisan tu, takut kita buat produk untuk golongan elit. Tu yang boring tu. Sebab tu saya buat buku, saya buat komik, art print, postcard, cari apa-apa jalan supaya karya saya acessible. Saya tahu, dekat luar tu ada orang minat, tapi tak mampu. Sebab kena ingat jugak, kami kena hidup. Barang-barang lukisan mahal. Banyak masa kami laburkan.



Satu lukisan ambik berapa lama masa?

Saya buat abstrak-ekspresionis. Abstrak ekspresionis ni membuat sesuatu dalam masa yang singkat. Macam tangkap gambar polaroid. Tangkap, pegang, siap. Dia cepat siap, tapi proses sebelum pegang berus tu berbulan-bulan. Saya nak buat siri apa, saya kena baca buku apa. Kalau lukis, sekeping-sekeping tu, kadang-kadang setengah jam pun ada. Ada yang ambil 2-3 hari. Ada yang semalaman. Tapi proses sebelum kotorkan tangan tu, 2-3 bulan jugak lah.


Bagaimana proses abang melukis?

Saya buat sub-conscious. Terus terang cakap, saya duduk depan kanvas, dia (ilham) datang je. Saya dah baca, saya dah tahu nak cerita apa. Tangan tinggal jalan je.



Ada buat pameran di luar negara?

Group show pernah. Untuk Malaysian Art Festival kat Copenhagen, Denmark. Dengan arwah Avroco ada sekali. Kat dinding pameran tu, saya ingat lagi, artwork saya dengan Avroco sebelah-
sebelah. Saya bernasib baik, dapat sponsor Balai Seni untuk beli tiket.



Apa beza khalayak di sana dengan sini, kalau ada?

Saya cerita dari pengalaman sendiri dulu. Yang saya tahu kat sana, macam yang saya buat ni, memang diterima. Ada peminat dia dan mereka berminat dengan work saya. Budak-budak sini jangan risau, kalau work diorang terlalu ini terlalu itu. Cuma jangan harap Malaysia je lah.. Buat network besar sikit, kawan-kawan. Macam budak-budak underground, budak-budak muzik, diorang ada network kawan-kawan seluruh dunia. Dari dulu memang macam tu. Kalau kita pergi mana-mana, ada kawan. Cuma, saya nasihatkan, artis-artis yang baru nak cuba-cuba, buat style sendiri ke, jangan risau, jangan takut tak jual. Satu hari benda tu akan dapat peluang. Dunia ni luas. Dunia ni bukan Malaysia je. Jangan anggap macam tu. Kadang-kadang kita ingat, dalam alam ni, kita je yang wujud. Padahal kita ada tanggungjawab lain, kawan-kawan, komuniti.

Macam saya sendiri, ni saya nak sembang sikit lah. Sekarang saya mengajar, Rabu-Sabtu-Ahad, untuk budak-budak 6 hingga 9 tahun. Sebelum saya buat benda tu, saya rasa saya macam pentingkan diri sendiri. Duduk dalam studio, buat kerja, siapkan lukisan, jual-beli-jual-beli. Bila saya start mengajar, ah, Alhamdulillah. Saya rasa macam bernilai. Ada kepuasan sendiri. Sebelum tu, saya memang pasif gila.


Jadi, maksud abang ramai pelukis risau pasal penerimaan lukisan?

Lukis pun belum, nak terima mende? Cerita dia macam ni, dia nak buat semua benda short cut. Semua nak cepat. Lukisan tak banyak mana pun. Show belum lagi. Baru ada atas kertas drawing, dalam buku notebook. Dah sembang pasal penerimaan. Amende? Buat show dulu, tunjuk kat galeri, pergi jumpa orang, buat fanzine, print out, bagi-bagi postcard, baru cakap pasal penerimaan. Start dari bawah dulu.

Lagi satu kena ingat. Dunia ni bukan internet. Dunia ni transaksi manusia. Apa kau buat pun, kau akan dapat hasilnya di tangan. Jadi kau kena tunjuk dulu kat dunia lukisan kau. Kalau kau duduk dalam internet, syok sendiri, orang tak tahu kau buat apa. Ini pendapat saya lah.



Lukisan juga satu komoditi, sebab tu dijual beli. Lukisan jualan abang macam mana?

Nampak gaya saya masih hidup sampai sekarang. maknanya boleh jual jugak lah. Boleh cari makan. Teruskan hidup. Tentang harga ni baik tak payah bincang. Tak de harga. Tak tahu nak kata macam mana. Apa yang kita charge tu? Kata lah kita charge RM300, RM500, RM19000, apa dia?


Jadi macam mana abang tetapkan harga?

Saya ambil nasihat daripada galeri.


Saya kenal abang sebagai anggota band Spiral? Masih menyanyi dan bikin lagu lagi?

Nyanyi kat bini je lah kot. (ketawa).


Jadi tak ada apa-apa material baru?

Eh, ada. Dalam komputer tu penuh. Tapi malas lah. Rilek ah. Sebab bila kita nak buat satu benda, kita kena sacrifice benda lain. Kalau ada show, saya tak boleh pegang gitar. Saya ada 24 jam je. Kena korbankan satu benda. Diorang ada jugak panggil show, apa semua, tapi saya tak larat lah.


Bagaimana dengan Infectious Maggot dengan Fathulistiwa?

Infectious Maggot mungkin saya nak tarik diri. Tak larat. Fathulistiwa simpan dulu.


Last show kat mana?

Sandakan. Letih jugak. Cuma seronok. Jumpa kawan-kawan. Cakap terus-terang, glamer dengan duit, tak ada dalam list. Memang tak pernah cari. Dari dulu sampai sekarang. Harap-harap sampai bila-bila. Tapi, saya ulang sekali lagi, bila kita buat benda yang kita suka, insyaAllah ada rezeki. Work kita ada kemajuan. Bila kita syok sendiri, nak beli barang pun tak de, nak lukis eksperimen pun tak boleh beli barang untuk eksperimen, bila kita nak progress? Jadi kena pandai cari jalan supaya boleh terus berkarya.

Berkarya dalam muzik, dalam seni bukan free. Nak kena pergi rehearsel, pergi jamming, tukar tali gitar, recording. Lukisan pun sama jugak. Material, kanvas, framming. Bahan mahal. Budak-budak muda, jangan give up lah.

Saya dah puas. Saya dah ada album, saya dah main konsert, saya dah rambut panjang, saya dah rambut pendek. Saya dah tak de rambut. Saya dah takde benda lagi dah. Saya buat cover album, saya pergi luar negeri, saya keluarkan komik, saya ada pameran kat Balai Seni sekarang, saya dah keluarkan satu buku, orang dah beli lukisan saya. Pergi Mekah la. Buat haji. Umur dah 40. Apa lagi nak? Kumpul duit beli rumah la kot, untuk anak cucu balik raya.


Abang juga ada menulis?

Menulis syok sendiri. Tak de beza lah. Menulis lagu ke, menulis dengan berus ke, tak ada perbezaan. Tulis lagu, tulis coding. Menulis, menulis je la. Tapi dalam banyak-banyak benda yang saya buat, saya paling suka melukis.


Kenapa melukis?

Dalam lukisan, kita pegang pensel ke, berus ke, tablet ke, digital pen ke, tak kisah tapi kita pegang, dan benda tu dekat je dengan kita. Ia sesuatu yang sangat personal. Lagi satu, dari segi material. Melukis, sekarang saya boleh lukis. Tak de pensel tak de pen saya boleh lukis. Saya boleh ambil batu, saya boleh ambil tanah, saya boleh ambil kayu, tak pasal-pasal meja ni jadi mangsa. Tisu paper. Saya suka benda yang boleh dibuat di mana-mana. Apa-apa yang dekat dengan soul.


Pendapat peribadi tentang bidang kreatif/seni di tanah air termasuk penulisan, muzik, filem. Mungkin dari sikap, persepsi, penghargaan atau orang-orang dalam bidang kreatif itu sendiri?

Cerita dia macam ni. Sekarang dah 2012. 1990an dulu, peluang yang ada sekarang tak de masa tu. Sekarang, kalau kau tulis setiap hari 5 helai. 90 hari kau boleh buat novel. Kau bawak ke digital print. Hantar email. Telefon. Diktate suara. Sekarang 2012, banyak benda yang best.

Kalau nak dibezakan dengan drama dalam scene, segala drama orang ni tipu duit orang tu, orang ni tak betul orang tu tak betul, buat apa sembang benda tu? Baik kita sembang kemajuan teknologi yang dah ada untuk kau berkarya. Saya tak boleh komen sangat pasal scene sebab saya tak berapa tahu sangat. Saya dah jarang pergi exhibition, perasmian, gig. Tapi saya tahu, saya peduli, saya tahu siapa main, hari apa. Apa saya boleh komen, bahawasanya, budak-budak sekarang, punyalah baaaaaanyaaaaak peluang. haha. Terlalu luas. Kalau korang tak guna, lailahaillallah. rugi nya, ya Allah.

Tapi, peluang banyak. Terlalu banyak sampai dia buat 18 benda satu masa.


Mungkin tak, sebab banyak peluang, sampai tak tahu nak buat apa?

Orang Kedah panggil ‘ceroi’. Macam ni. Teh ais, kalau pekat sedap kan? Kalau ais tu dah cair, katakan ada 6-7 ketul ais? Apa jadi teh ais tu? Tawar. Masalah la ni. Sistem.... aah, kan, ni dah mula heavy.


Tak pe bang, teruskan.

Sistem pendidikan memang dah kantoi pun. Siapa pandai menghafal, menang. Ok, tak pe la. Masalahnya, orang yang berkarya pun tak kenal diri dia lagi. Dia tak tahu siapa diri dia. Macam mana dia nak berkarya? Dia ni nak jadi ni, dia ni nak jadi tu. Kau ni nak jadi Gibran, kau ni nak jadi Picasso, Kau ni nak jadi Gogol, kau ni nak jadi... Dia kena kenal diri dia sendiri. Jadi, saya syorkan diorang laburkan masa untuk diri sendiri dulu. Tanya diri sendiri, nak apa? Lima tahun lagi? Dua tahun lagi? Atau dalam dua hari lagi. Jangan peduli dengan drama semua ni. Politik mengarut semua.


Tapi politik tu semua banyak pengaruh, kawal... Abang sendiri semestinya banyak pengalaman pahit berurusan dengan orang macam yang saya maksudkan.

Peduli apa. Jawab kat Padang Masyhar. Bukan urusan saya. Saya nak dendam rugi hati saya.


Tapi selalunya orang akan dendam, skeptik, pesimistik, prejudis,

Saya tak mahu. Saya tak ada masa. Saya cuma ada 24 jam sahaja. Kalau saya habiskan tiga jam untuk sakit hati, rugi hati saya. Tak payah peduli. Mampuslah. Bukan tak pedulikan orang lain, tapi negativiti tu. Saya ambil tahu je. Sekarang pun saya dah mengajar. Dah jalankan tanggungjawab sedikit la. Saya dah mula reach out kepada society. Next time la kan, lama-lama saya akan turun padang la.


Jadi bagi abang, penting untuk seorang seniman untuk libatkan diri dengan masyarakat?

(Ketuk meja) Memang lah! Pelukis misalnya, kalau dia terperangkap dalam dunianya sendiri, habislah. Tak pergi sembahyang Jumaat satu hal. Duduk rumah, baca buku, melukis, dengar lagu, bancuh kopi, lepas tu? Tidur. Kalau tiga hari tak pa. Kalau 24 hari? kalau 367 hari? Apa guna orang sebelah rumah, mak ayah, keluarga.


Tapi bukan seniman memang suka bersendiri ke, solitud?

Jangan dik, nanti sakit. Percaya lah. Sebab tu saya mengajar. Share dengan budak-budak. Diorang la insan yang perlu diterapkan seni. Supaya hati dan jiwa diorang lembut dan tak gila dalam dunia ni.


Bagi abang, penting ke kita kena ambil pasal isu-isu semasa, isu masyarakat?

Penting. Orang susah kita kena ambil tahu. Jenayah, maksiat semua. Kecuali politik negara, saya tak mahu ambil tahu. Selagi Islam tak masuk,... haaa.. ni pendapat peribadi lah. Selagi negara ni tak jadi negara Islam sepenuhnya, saya pun tak jadi Islam sepenuhnya. Sebab saya ikut negara. Saya tak boleh komen tentang kerajaan Malaysia ni. Saya ikut semua isu semasa. Tapi saya tak terperangkap, saya tak buang masa kutuk kerajaan belanja RM4.7 juta untuk beli ini beli itu, saya tak ambil hal, bukan boleh buat apa pun. Yang saya buat tulis buku, melukis, buat lagu baru, pergi tolong orang susah, ha, yang tu kita boleh buat.


Maksudnya, abang sampaikan pendapat abang dengan cara tu lah, dalam penulisan, lukisan?

Yelah. Tapi kalau nak tahu lebih lanjut, kena duduk macam ni lah. Takkan saya nak tulis atas kanvas tu? Macam Picasso cakap la kan, kalau dia nak lukis real, baik dia tangkap gambar.


Abang percaya suratkhabar?

Tak.

Dunia ni perlukan suratkhabar tak?

Perlu sebenarnya. Untuk bagitahu kita apa terjadi. Tapi masalahnya bila dia sokong satu pihak, diorang ada interest. Kalau tak, berhenti la dana printing diorang, gaji-gaji diorang, pangkat, status. Journalisme penting, buku penting, buku teks baru, buku kanak-kanak, buku ilustrasi, cerita rakyat yang baru kena buat, kita tak boleh harap Si Badang, Sang Kancil sahaja. Kanak-kanak sangat penting. Boboiboy ok. Upin-ipin bagus, saya sangat respek diorang.


Ada satu myth tentang orang seni dan pengambilan ‘rempah’ tertentu untuk membantu mereka berkarya. Pendapat peribadi abang tentang hal ini.

Bismillahirahmanirahim. Sebagai seorang Islam, saya bagi pendapat sebagai seorang Islam lah. Pengalaman masa muda untuk eksperimen benda-benda ni, wallahualam. Itu urusan saya dengan Tuhan saya. Tapi bagi saya benda ni mengarut. Memang mengarut. Karut. Karut. Karut.

(Diam.)

Tahu tak mengarut maknanya apa? Mengarut banyak mana tahu? Mengarut maknanya, bila kau lepas kesedaran, bila kau lepas ke atas atau ke bawah, kau bukan kau.

Siapa ambil alih? Kau cuba jawab soalan ni? Kalau kita bukan kita, apa gunanya kita? Apa gunanya kita? Sebagai seorang manusia, saya sebagai saya. Kenapa harus jadi orang lain? Atau dibantu menjadi orang lain? Sekejap. Setengah jam. 45 minit. Pagi esok bangun, pening kepala. Apa gunanya saya ketika itu?

Tapi ada orang cakap, saya adalah ‘saya yang lebih besar’ ketika itu?

Yelah. Setengah jam. 45 minit. Tak nak lah. Sorry lah. Ini pendapat peribadi.


Kita ada Aswara, Uitm, dan universiti2 tempatan yang tawarkan kursus bidang kreatif termasuk muzik, filem, dan penulisan. Berapa jauh institusi pendidikan begini membantu, atau mungkin merosakkan kreativiti seseorang individu?

Bismillahirahmanirahim. Sekali lagi. Sekolah, institusi ni penting. Ia dah menghasilkan banyak hero. Contohnya, ITM. Pada suatu hari, dekat stesen keretapi lama, dulu balai seni kat depan tu, saya pergi tengok lukisan, cakap satu hari nanti saya nak jadi pelukis apa semua. Saya diilhamkan oleh pelukis-pelukis angkatan baru, Matahati, kira yang rebel la masa tu kan. Bayu Utomo, Mas No, Mohd Fuad Osman, tu semua budak-budak ITM la tu. Diorang hero-hero saya masa tu. Jadi, bila manusia macam tu boleh mengubah hidup saya untuk pulun, passionate ke arah art, berjaya la ITM dak?

Tapi, ada tapi.  Kalau sistem mengajar, belajar dia tak berubah susah la sikit dak? Saya tak nampak hasilnya. Tak nampak sangat. Cuba namakan saya beberapa?

Saya pernah dengar seorang pelukis cakap; pelukis yang pandai tidak sama dengan pandai melukis. Apa komen abang?

Pelukis yang pandai yang penting. Bukan pandai melukis. Melukis, kita transfer jiwa kita ke garis, warna dan bentuk. MasyaAllah. Dengar sekali lagi, melukis, kita transfer jiwa kita ke garis, warna dan bentuk. Lukisan, siapa pun boleh melukis. Karya, tahu tak karya tu apa? Hati. Duduk atas dinding, sculpture. Ukiran, tarian, teater. Lukisan, siapa pun boleh melukis. Bila kau melukis bulatan, mata dua, ada senyum. Itu lukisan la tu. Tahu tak karya apa beza?

Siapa pun boleh menyanyi dalam dunia ni. Makan, masak.

Dia nak jadi pelukis yang pandai, baru dia pelukis. Kalau dia pandai melukis, dia orang yang melukis. Dia buat poster, fliers.

“Di hari raya, terkenang daku kepada si dia...” cuba kau dengar lagu tu masa kat London kau tak balik raya. Kau rasa apa? Aduh, rabak. Beza dengan bunyi telefon. Kring..kring.. Tu melodi lah tu, produk. Tapi tak sentuh perasaan sesiapa pun. Kecuali orang tu tunggu kekasih dia telefon.


OK, ada apa-apa pesanan akhir?

Ok. Saya sebenarnya, satu hari tu saya tersedar, kata saya dilahirkan untuk menyembah dan beribadat kepada Allah. Tak apalah. Itu basic fundemantal saya. Besar skop dia. Itu asas dia. Tak pe. Kita letak sini dulu. Sebenarnya, dalam masa sama, saya juga sedar, kata saya ke dunia ni untuk inspire orang, supaya orang tulis buku, menyanyi, keluar album, buat poster, buat pameran. Pasal saya dah buat ni, saya ada jalan untuk buat. Jadi saya sedar, fungsi saya di Kuala Lumpur ni, di saat ini, untuk racun, push, bagi jalan, bagi nombor telefon, cari tempat nak framming murah, macam mana nak hantar lori pergi pameran, nak cakap apa dengan owner galeri. Faham tak?

Saya diberikan semua ini, selama ini, ialah untuk tolong orang dapat mimpi dia. Orang tu nak melukis, saya boleh tunjuk jalan. Orang tu nak buat album, nak record kat mana, siapa nak buat mastering, kat mana pasang sessionist, kat mana nak printing CD, faham tak? Saya dilahirkan untuk buat semua ni. Untuk lebih lanjut, layari lah Facebook dot com slash fathullahluqmanyusof dan like la page saya. Hahaha

Terima kasih bang.

Ok terima kasih jugak. Jangan tulis yang pelik-pelik eh.




*Interviu ini pertama kali diterbitkan di zine Frangranfrantik isu #02.

Pemerintah Vs. Kartunis

$
0
0

Di negara neutral seperti Switzerland menghasilkan kurang karya seni berbanding negara-negara lain seperti Russia, German, atau Perancis yang rakyatnya melalui fasa kritikal sama ada dari aspek politik mahu pun sosial. Begitu juga pada rentang masa Perang Dingin, karya-karya besar muncul di Eropah. Dari satu perspektif, karya seni seperti mengambil ruang untuk bernafas di celah era kritikal itu. Mereka yang bergelar  orang seni menemukan inspirasi pada 'ketempangan' dan 'kekacauan' yang terjadi. 


Situasi politik tanah air yang sejak 1998 sehingga ke hari ini masih dalam lingkungan skrip sama - sedikit perubahan watak di sana-sini, kita boleh kata -  menyaksikan corak dan bentuk baru dalam wacana seni dan budaya. Terima kasih kepada sebuah parti politik yang  berlumut di tampuk pemerintahan, penggiat seni menemukan keghairahan berkarya. Dari penulis, pembikin filem, penyair, busker dan kartunis, semua menjadikan situasi politik semasa sebagai subjek karya mereka.


Kalau bukan kerana legasi keruh yang menyaksikan barah kronisme dan nepotisme merebak sampai ke jantung sistem perundangan, kartunis Ronasina mungkin mengalami kesukaran untuk mencari inspirasi. Hanya beberapa minggu selepas buku kartun terbaru Zunar diterbitkan, Ronasina pula tampil dengan 'Koleksi Kartun Satira Rakyat: Negaraku' yang dilancarkan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLSCAH) 22 Disember lepas, sekali gus meriuhkan lagi gelanggang seni kartun bergenre satira politik. Nampaknya, kartunis ingin berada di barisan hadapan wacana yang digelarkan Hishamuddin Rais sebagai 'seni untuk melawan.' 


"Kita telah melintasi zaman kartun Lat. Satu ketika dulu orang sebut-sebut seni untuk seni atau seni untuk masyarakat. Sekarang itu sudah lapuk. Hari ini genre seni yang paling relevan dan saya paling setuju adalah 'seni untuk melawan'," kata Hishamuddin yang menyempurnakan majlis pelancaran yang turut dihadiri sasterawan A Samad Said.


'Koleksi Kartun Satira Rakyat: Negaraku' menyentuh sepak terajang dunia politik yang dipenuhi gelagat ahli-ahli politik sehinggalah ke institusi-institusi kerajaan yang bersilih ganti drama dan sandiwaranya. 


Hishamuddin pada malam itu turut berkongsi cerita tentang Naji al-Ali, seorang kartunis Palestin yang mati dibunuh kerana tajam mengkritik  pemerintah Arab dan regim Israel dalam lukisan kartunnya. Ali ditembak mati selepas melukis kartun yang mengaitkan seorang  perempuan kenalan Yasser Arafat dan pemimpin PLO. Ali seterusnya menjadi nama yang dikenali komuniti Arab serata dunia.


Tak semua yang kenal Handala, watak kartun yang sinonim dengan Ali. Tapi sebagai warganegara internet (netizen) yang celik gosip politik, kita kenal dengan nama Bik Mama. Ia watak berbadan gempal dengan rambut besar dan perhiasan memenuhi tubuh badannya. Dia merupakan antara watak yang sering mengisi bingkai-bingkai kartun.  100 tahun dari sekarang, tidak hairan jika gambaran dan gelagat Bik Mama akan lebih diingati berbanding mana-mana watak dalam novel terbitan alaf 21. Malah, Ronasina pernah membuat video tutorial melukis kartun Bik Mama.


Membesar di era renaissance industri komik/kartun tanah air, Ronasina giat berkarya sejak di bangku sekolah. Reformasi pada '98 memacu karyanya ke arah genre satira yang sarat dengan kritikan terhadap dasar kerajaan. Bermula dari situ, pegawai di Kementerian Dalam Negeri mula bekerja keras untuk memastikan mereka tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan scene kartun. 'Gedung Kartun', 'Perak Darul Kartun', 'Isu Dalam Kartun', antara beberapa judul yang yang dihasilkan Ronasina bersama geng kartunis lain kini diharamkan kerajaan Malaysia. 

Editor web Merdeka Review, Lim Hong Siang yang turut berucap, sempat berkongsi pengalaman ketika mengalami masalah kewangan untuk mengendalikan web portal itu. "Ronasina cakap dia mahu lukis, tak perlu bayar," katanya dan menambah, "tapi bagi saya, tak seharusnya ambil percuma karya orang  seperti mereka. Sebab itu Merdeka Review terpaksa ditutup." 

Tidak terbatas pada lukisan kartun semata-mata, Ronasina juga menulis artikel, cerpen, sajak, serta mengarah dan berlakon drama radio; semuanya dia simpulkan dengan dua perkataan yang, tidak seperti retorik politik, jelas dan bakal difahami oleh sesiapa yang mempunyai kewarasan fikiran: "Menumbangkan kerajaan."

Buku ' Negaraku' boleh dipesan dari:

http://tokobuku.fotopages.com atau layari fanpage http://www.facebook.comkartunronasina?fref=ts atau boleh emel ke raja_uda@yahoo.com

Wei... Dah 2013 pun Jabatan Audio!

$
0
0

Interviu dengan Apis Abdul dan Syima Tarmizi oleh Raja Syahrul Helmi


Persembahan terakhir Jabatan Audio untuk 2012 di Sunway Piramid, 8.30 malam, 31 Disember. Mereka tak pernah main di kompleks beli-belah jadi mereka agak gementar lihat orang amat ramai, tak macam crowd biasa mereka yang sederhana. Lagi tak membantu Jabatan Audio malam tu ada dua orang saja -Apis dan Syima (Sim), sebab gitaris utama main dengan band lain kat KLCC dan drummer session di Dataran. Macam biasa malam tahun baru ialah malam sibuk buat pemuzik-pemuzik dan juga malam sumber rezeki untuk mereka.

Di ambang tahun baru 2013 ahli-ahli Jabatan Audio membawa haluan sendiri cari rezeki masing-masing. Mereka semua ialah pemuzik sepenuh masa (kecuali Adi fotografer sepenuh masa) yang mengisi perut dengan bermain muzik. Sebab bayaran show Sunway Piramid aduhai tak cukup untuk kongsi banyak perut jadi dua orang saja yang cover show itu. Sim terpaksa bawa anaknya -si Eva Sofia yang comel- sebab tak ada orang boleh jaga Eva di rumah. Masa mereka berdua buat persembahan tugas aku jaga Eva dan ambil gambar.

Pada masa sama malam itu  Adi sedang sibuk di pejabat, buat sentuhan-sentuhan terakhir kepada video klip Hati Mataharey, video muzik pertama Jabatan Audio. Banyak hari juga dia dan pengarah video, Esham Shahlin, tak tidur malam untuk siapkan editing video Hati Mataharey. Mengikut jadual video itu akan dimuat-naik ke Youtube malam itu sebagai hadiah tahun baru kepada semua peminat Jabatan Audio yang selalu komplen pasal pergerakan band itu yang lembab macam siput.

'Peminat-peminat' mereka tak ramai pun. Setakat artikel ini ditulis ada 1236 saja yang suka laman FB rasmi Jabatan Audio. Di Reverbnation Jabatan Audio menduduki tangga 30 carta muzik alternatif tanahair tapi di luar dunia maya lagu Hati Mataharey belum lagi tersenarai dalam mana-mana carta.Tak payah cerita masuk carta, setelah hampir dua tahun keluar ketuhar Quantize Studio ia masih belum pernah berkumandang di mana-mana stesen radio seluruh Semenanjung Malaysia. Ada harapan situasi ini akan kekal sampai bila-bila tapi Jabatan Audio masih belum putus asa. Mereka berharap dengan bantuan muzik video lagu itu akan tersebar lebih luas dan terbang tinggi seperti lirik lagunya.

Namun persembahan di Sunway Piramid malam itu tak berapa membantu agenda mereka. Nampak Apis cuak dan tak selesa di atas kerusinya. "Aku naik atas pentas lutut aku terus menggeletar. Masa duduk aku rasa kerusi tu bergegar," kata Apis. Sebab kerusi bergegar itu dia sampai lupa kord dan melalut entah kemana masa main lagu 'Diam'. Lepas lagu itu semua serba tak kena. Nasib Apis sempat buat come-back di lagu terakhir, Dewi Api, yang sebetulnya dah lama dia tak nyanyi.

Lepas habis persembahan organizer panggil Sim ke belakang pentas. Aku tengok Apis pula geleng-geleng kepala sambil lap neck gitar dengan kain. Si kenit Eva tiup belon tunggu mak dia datang balik. Bila Sim datang balik mukanya ada banyak senyum dan di tangannya ada angpow tahun baru daripada Bank Simpanan Nasional. Untuk set akustik malam itu mereka dibayar RM600 jadi seorang dapat RM300. Agak lumayan untuk kerja 30 minit. Di luar, masa sesi hisap rokok dan posmortem, mereka bagi aku RM30 sebab tolong jaga Eva. Masa hisap rokok itu juga Sim terima mesej dari Adi yang klip video sudah siap sedia untuk dimuat-naik.

Kami terus bergegas ke pajabat Maidi Corp. di Damansara Perdana yang tak berapa jauh daripada Piramid. Tak sabar nak tengok video hasil muktamad mereka meredah panas terik di tengah tapak pembangunan dan bekas lombong untuk shooting video. Tapi trafik malam tahun baru tahu-tahu sajalah. Di Sunway Piramid trafik macam neraka. Sepanjang perjalanan ke DP pula kereta semua berpakat bawa perlahan jadi dekat pukul 11.00 baru kami samapi ke destinasi. Tak lengahkan masa kami naik ke pajabat tAdi dan Esham buat kerja.

Video sedang dimuat-naik ketika kami tiba. Selesai fail bersaiz beratus megabit itu dimuatnaik, terus kami semua -Apis, Sim, aku, Adi, Esham dan Eva juga- duduk rapat keliling monitor tengok video klip pertama Jabatan Audio. Kami ulang tiga empat kali tengok sebelum ramai-ramai tepuk tangan. Eva yang tak tahu apa itu pun ikut tepuk tangan sama. Aku tengok muka semua orang ada riak amat puas dan aku terus dapat tangkap sikit mengapa mereka buat apa yang mereka buat.

Tak ada acara perasmian ataupun press conference dan tak ada gimik. Cukup dengan kongsi di dinding Facebook dengan iringan ucapan selamat tahun baru, steady peminat! steady peminat!! Dalam hati aku khuatir video ini hanya akan jadi satu lagi video muzik yang keluar Youtube, untuk tenggelam dalam lautan video-video muzik seumpamanya... Apakah yang ada pada Jabatan Audio yang boleh membezakan mereka dengan yang lain-lain? Apakah keputusan mereka untuk menaruh harapan (macam lagu Zaiton Sameon) kepada hidup 'main band' ini keputusan bijak?

"Aku nak menyanyi sampai aku ada wrinkles. Kalau dah ada wrinkles aku tak mau nyanyi dah," Kata Sim masa aku temuramah dia dan Apis di mamak bawah pejabat. Masa itu mungkin tak lama lagi kerana umur Sim pun dah tiga puluh lebih. Apis pula akan cari benda lain kalau Jabatan Audio tak nampak hasil dalam masa sepuluh tahun. Dia juga sudah jadi ahli kelab 30 dan 10 tahun lagi mungkin sudah terlambat untuk dia yang tak ada sebarang ijazah itu untuk patah balik.

Dalam jangka masa 3 tahun sejak kugiran ini ditubuhkan ia telah tukar seorang gitaris, dua orang basis dan gunakan khidmat lima drummer berasingan. Macam-macam kegagalan dicapai di samping kenangan-kenangan manis. Memandangkan kemajuan mereka macam kura-kura aku rasa agak kagum juga mereka boleh bertahan sampai sekarang, "surviving all the dramas,"  bak kata Sim.

Ikuti temubual aku dengan Syima Tarmizi dan Apis Abdul dari Jabatan Audio di sebuah restoran mamak pada malam terakhir tahun lepas:

Apa perasaan korang lepas show terakhir tahun 2012?

Sim: honest? nak kata puas taklah puas 100 %. Banyak lagi benda yang sebenarnya kita boleh buat tapi kita tak terbuat. Sebab apa? Kita banyak tangguh-tangguhkan kerja... tak berapa serius. Bukan nak kata serius tu macam (buat muka serius)... tapi motivasi tu takde.


Mengapa takde motivasi padahal korang buat apa yang korang suka?

Sim: Memang ada motivasi tapi tak serius. Kita main-main. Kalau band lain tengok kita -band yang betul-betul serius- kita very slow moving... laidback.

Apis: Tak cukup lagilah. Tak cukup untuk ke tahap seterusnya. Dalam kepala dah ada benda nak buat tapi tak buat lagi. Show tadi dari segi perform memang tak puas hati sebab mainpun salah-salah. Lagi satu feel tu tak sampai sangat sebab tak dapat main full band malam ni. Aku lagi suka perform sebagai satu band sebenarnya.

Sim: Tadi pun last minit. Malam semalam baru praktis. Tapi big deal sebab it's the last day of the year.


Mungkin sebab suasana event tadi buat korang gelabah. Gelabah tak tadi?

Apis: Gelabah juga. Tapi setakat ni ok. Kita belajarlah... belajar dan terus belajar.

Sim: Aku tak gelabah tadi. Aku punya teruk menggelabah masa Rantai Art dulu... Ada performance yang kita rasa best ada yang not so much. Biasalah tu. Semua yang not so much tu sebab tak cukup praktis.

Eva: Wieeooooooooo awwww mannn!


Nak kira korang dapat slot cantik tadi... 8.30 malam tahun baru. Walaupun bayaran dapat tak banyak tapi dapat juga. Tahun 2012 tahun banyak gig duit untuk korang?

Apis: Banyak gig duit yang lari daripada sasaran Jabatan Audio. Sebab kita pun memang full time main muzik jadi kena layan juga event macam kat Sunway Piramid tadi.


Korang memang nak buat muzik ni jadi hidup korang ke? Cari makan pun daripada muzik?

Serentak mereka kata "Yes!"

Sim: Aku nak. Itulah satu-satunya kerja yang aku rasa dapat kepuasan dan pada masa sama kita tak malas nak buat kerja tu. Buat benda ni untuk diri sendiri juga. Macam aku nak both -aku takkan tipu punya. Aku nak income dan kepuasan main. Dua-dua aku nak. Bukan nak kata aku hanya nak kepuasan dan tak kisah yang lain.

Apis: Hidup nak kena pakai duit. Nak buat band pun kena pakai duit. Sebab tu job kita kena cari juga. Tak boleh memilih sangat.

Sim: Satu ja (keluar pelat utara)... kita mesti ada standardlah untuk band ni. Bukan nak pandang rendah sesapa. Macam birthday party pun tak kisah buat tapi tengok birthday party macam mana la. Jangan suruh kita main lagu entah mana-mana lari terus-

Apis: Kami bukan memilih event tapi memilih ikut kesesuaian jiwa kami. Jangan tiba-tiba suruh aku menari Gangnam pula


Jadi apa perkara paling bagus korang buat sebagai band pada tahun 2012?

Apis:
Tahun ni muzik video dan rekod lagu Sim -Tak Diterima Lagi. Dua benda yang kita plan ni so far jalan. Bagi aku itu lebih baik dari tak jalan langsung. Sebenarnya kita berjalan... dari dulu lagi tapi very slow. Tahun 2013 harapnya kita up the tempo sikit. Lagu Hati Mataharey tu tak sampai lagi target.


Apa target korang untuk lagu Hati Mataharey tu?

Sim: Of coursela we wanna hear it on the radio. Tak dapat nombor 1 pun takpe asalkan it's out there. Kita tahu orang dah pernah dengar kita punya lagu. Nak dapat kepuasan tu tak semestinya kena lagu kita dapat nombor 1. Kalau dapat stesen-stesen yang susah (nak masuk) macam, Hitz FM contohnya la kan, dan ada orang kata dia suka dengar lagu kita... itu yang kita nak sebenarnya, bukannya nak dapat nombor 1, duit banyak, banyak dapat show...

Apis: Lagi satu aku rasa kita punya marketing mungkin ada something wrong. Ada yang kita perlu kaji sikit. Macam yang aku cakap tadi semangat tu ada tapi kita punya enjin tak tukar gear lagi, masih di gear dua.


Adakah korang sebenarnya sedang tunggu korang punya 'big break'? Mungkin nasib belum menyebelahi korang?

Apis: Big Break ni kita kena cari tak boleh tunggu. Kita mencuba nasib. Saingan makin banyak, band dah makin berlambak... Kalau nak kejar kita memang kena kerja keras. Tapi kadang-kadang aku rasa macam menunggu juga -menunggu satu 'bap!' jatuh. Macam aku sekarang ni tak puas hati selagi Hati Mataharey tak tersebar lagi kat Radio tempat kita sendiri, di KL ni. Itu target 2012 yang masih tak tercapai. Tapi dengan keluarnya video klip ni aku harap lagu ni jadi kuat sikit la. Sekarang ni yang penting material. Nak taknak kita mesti lebih cepat siapkan material tahun 2013 nanti. Aku harap Hati Mataharey tu tak lama sangat nak masuk radio sebab kita pun ada banyak lagu lain lagi nak rekod, nak promot.

Sim: Kita tak boleh takut cuba benda baru. Contohnya macam... jangan buat buat lagu untuk fit in the crowd saja. Kita tak boleh telalu fikir, oh nanti orang tak suka lagu ni... kita kena take risk. Janji kita yang puas. Sebenarnya benda (kepuasan) tu penting bagi kita dulu sebelum puaskan orang lain. That's why we're in an indie band.


Jadi untuk tahun 2012 korang puas hati dengan pencapaian korang sebagai band?

Apis: Tahun ni tak berapa puaslah. Gig-gig yang kena dengan konsep Jabatan Audio tak banyak. Tahun 2012 banyak praktis lagu-lagu cover untuk job. Aku target komuniti sebenarnya -komuniti yang dengar lagu-lagu kita. Tahun 2013 kita tak boleh mantai lagi. Kalau kita kenang balik perjalanan Jabatan Audio daripada 2009 memang kita bergerak agak slow. Aku rasa benda ni dah nampak... dah macam kita betul-betul nak, jadi kenalah tukar cara kerja... Sebenarnya kita masih lagi bertahan buat benda ni sebab lagu-lagu kita lah -lagu-lagu sendiri. Aku dengan Sim dari scene kelab, selalu main lagu cover. Bila kita ada material sendiri rasa nak sangat tau sejauh mana kita boleh pergi dengan lagu sendiri... Semangat nak main lagu sendiri tu sebenarnya...


Sebab itu korang masih lagi setia dengan Jabatan Audio?

Sim: Sebab ada hope. Rasa macam ada hope-

(Bunyi letupan mercun kedengaran. Orang-orang dalam restoran ramai yang bersorak)

Apis: Apa-apapun dah pukul 12.00 tengah malam. Tahunpun dah bertukar. Selamat tahun baru.

(bunyi mercun dan riuh rendah dari wartawan di TV. Eva Sofia yang tadi duduk elok jadi mnyet atas kerusi. 3... 2... 1... lagu 1 Malaysia ke udara)

Eva: Nyeppinyewyer

Sim: Wei... dah 2013 dah pun...


Kami semua saling berpandangan, berkongsi sesuatu yang tak pasti. Kemudian lepas layan Eva tengok mercun sekejap kami sambung borak balik tentang rancangan Jabatan Audio untuk tahun 2013. Macam biasa kalau bab merancang manusia memang pandai. Pukul 3.00 pagi hari pertama 2013, kami semua berpisah. Apis hantar Sim dan Eva Sofia yang dah nak layu dan aku kembali ke rumah ibu-bapaku di Kapar. Dalam perjalanan balik aku nampak semua perkara yang biasa terjadi di pagi tahun baru -budak melayu tibai budak cina, rempit-rempit enjoy atas highway macam nyamuk mabuk dan sekatan jalanraya besar-besaran oleh polis trafik dengan bantuan anti-narkotik. Maafkan aku kalau bertanya apakah ertinya sebuah lagu tentang terbang di langit biru bersama burung-burung hitam,  ke awan, ke bulan dan ke matahari, di tengah semua kegelisahan ini? Selamat tahun baru Jabatan Audio. Selamat tahun baru semua! Semoga tahun ini lebih baik dari tahun lepas.


*Jabatan Audio ialah: Apis Abdul (vokal & gitar), Syima Tarmizi (vokal), Hafiz Fei (gitar utama), Zairul (bass), Adi (gitar kedua, perkusi), Munir (drums).




















Viewing all 48 articles
Browse latest View live